Beberapa orang membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada anak-anak itu dan memberkati mereka. Ketika pengikut Yesus nampak hal itu, mereka menegur orang di situ. Tetapi Yesus memanggil anak-anak itu lalu berkata, “Biarlah anak-anak datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang semacam inilah yang akan menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang anak, tidak akan menikmati Pemerintahan-Nya.”
Seorang pemimpin Yahudi bertanya kepada Yesus, “Ya Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
Yesus bertanya kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. Kamu mengetahui hukum Allah: ‘Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu dan hormatilah ibu bapamu.’ ”
Orang itu menjawab, “Sejak muda saya menurut segala hukum itu.”
Apabila Yesus mendengar hal itu, Dia berkata kepadanya, “Masih ada satu perkara yang harus kamu lakukan: Juallah segala hartamu lalu dermakan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian ikutlah Aku.” Tetapi apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, dia sedih kerana dia sangat kaya.
Yesus melihat bahawa dia sedih. Oleh itu Dia berkata, “Alangkah susahnya bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
Orang yang mendengar kata-kata Yesus bertanya, “Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?”
Yesus menjawab, “Apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah!”
Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan rumah tangga untuk mengikut Guru.”
“Betul!” kata Yesus. “Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah, akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.”