IMAMAT 2

2
Korban untuk Mengucap Syukur kepada TUHAN
1Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban itu harus berupa tepung terbaik, yang dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan di atasnya. 2Orang itu harus membawa persembahannya kepada imam-imam keturunan Harun. Imam yang mempersembahkan korban itu harus mengambil segenggam tepung serta minyak itu dan semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. 3Lebihan korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN itu adalah bagi para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN.
4Jika persembahan itu roti yang dibakar di dalam ketuhar, roti itu tidak boleh dicampuri ragi. Roti itu boleh tebal, dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun, dan boleh juga roti tipis, yang disapu dengan minyak zaitun.
5Jika persembahan itu roti yang dipanggang di atas pemanggang, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik yang dicampuri minyak zaitun tetapi tidak beragi. 6Roti itu harus dibelah-belah dan dituangi minyak zaitun ketika dipersembahkan.
7Jika persembahan itu roti yang dimasak di dalam kuali, roti itu harus dibuat daripada tepung terbaik dan minyak zaitun. 8Roti yang dibuat seperti ini harus dipersembahkan kepada TUHAN, dan diserahkan kepada imam yang membawanya ke mazbah. 9Imam itu akan mengambil sebahagian roti itu, lalu membakarnya di atas mazbah sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau persembahan makanan itu menyenangkan hati TUHAN. 10Lebihan korban itu untuk para imam. Korban ini sangat suci kerana diambil daripada makanan yang sudah dipersembahkan kepada TUHAN.
11Korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan kepada TUHAN tidak boleh dicampuri ragi. Jangan sekali-kali campurkan ragi atau madu ke dalam makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. 12Hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai pada setiap tahun harus dipersembahkan kepada TUHAN, tetapi persembahan itu tidak boleh dibakar di atas mazbah. 13Bubuhlah garam pada tiap-tiap korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, kerana garam melambangkan perjanjian antara kamu dengan Allah. Bubuhlah garam pada semua persembahan kamu. 14Apabila hasil tanaman yang mula-mula kamu tuai dipersembahkan kepada TUHAN, persembahkanlah biji-bijian baru yang sudah dipanggang atau yang sudah dikisar halus. 15Biji-bijian itu harus dituangi minyak zaitun dan dibubuhi kemenyan. 16Imam akan membakar sebahagian daripada tepung dan minyak zaitun, serta semua kemenyan itu, sebagai tanda bahawa keseluruhannya sudah dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN.

Terpilih Sekarang Ini:

IMAMAT 2: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk