Raja Yerikho diberitahu bahawa beberapa orang Israel telah datang pada malam itu untuk mengintip negerinya. Maka raja itu menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!”
Rahab menjawab, “Memang ada beberapa orang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu dari mana mereka datang. Mereka pergi pada waktu senja, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Saya tidak bertanya ke mana mereka pergi tetapi jika mereka dikejar dengan segera, mereka akan dapat ditangkap.” (Padahal Rahab telah menyembunyikan dua orang pengintip itu di atas bumbung rumah yang rata, di bawah timbunan batang rami, yang diletakkannya di sana.) Sebaik sahaja para utusan raja itu keluar dari kota, pintu gerbang ditutup. Mereka mencari pengintip-pengintip itu sampai ke tempat penyeberangan Sungai Yordan.
Sebelum pengintip-pengintip itu tidur pada malam itu, Rahab naik ke bumbung rumah dan berkata kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu. Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik saja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi. Sekarang bersumpahlah demi TUHAN bahawa kamu akan memperlakukan keluargaku dengan baik sebagaimana aku telah memperlakukan kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan supaya aku dapat mempercayai kamu. Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!”
Pengintip-pengintip itu berkata kepadanya, “Biarlah Allah membunuh kami jika kami tidak memenuhi janji kami. Jika engkau tidak memberitahu orang tentang kami ini, kami berjanji bahawa apabila TUHAN memberikan negeri ini kepada kami kelak, kami akan memperlakukan kamu dengan baik.”
Rumah Rahab dibina pada tembok kota. Oleh itu, dengan menggunakan tali dia menurunkan pengintip-pengintip itu ke luar tembok melalui tingkap. Rahab berkata, “Pergilah ke kawasan perbukitan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja itu. Bersembunyilah di situ selama tiga hari sehingga para utusan itu kembali. Kemudian teruskanlah perjalanan kamu.”
Para pengintip itu berkata kepada Rahab, “Kami akan memenuhi janji kami ini menurut permintaanmu. Lakukanlah hal ini. Apabila kami menyerang negeri kamu, ikatkanlah tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah ibu bapamu, saudara-saudaramu dan semua sanak keluarga bapamu di rumahmu. Sesiapa antara mereka yang keluar dari rumah ini, kematiannya bukanlah tanggungjawab kami; itu kesalahannya sendiri. Tetapi jika seseorang yang berada di rumahmu cedera, kamilah yang bertanggungjawab. Sebaliknya, jika kamu memberitahu orang tentang kami, bebaslah kami daripada janji kami ini.” Rahab menyetujui hal itu lalu menyuruh mereka pergi. Setelah mereka pergi, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya.