YOSUA 2:2-21

YOSUA 2:2-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Yerikho diberitahu bahawa beberapa orang Israel telah datang pada malam itu untuk mengintip negerinya. Maka raja itu menyuruh orang memberitahu Rahab, “Orang di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!” Rahab menjawab, “Memang ada beberapa orang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu dari mana mereka datang. Mereka pergi pada waktu senja, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Saya tidak bertanya ke mana mereka pergi tetapi jika mereka dikejar dengan segera, mereka akan dapat ditangkap.” (Padahal Rahab telah menyembunyikan dua orang pengintip itu di atas bumbung rumah yang rata, di bawah timbunan batang rami, yang diletakkannya di sana.) Sebaik sahaja para utusan raja itu keluar dari kota, pintu gerbang ditutup. Mereka mencari pengintip-pengintip itu sampai ke tempat penyeberangan Sungai Yordan. Sebelum pengintip-pengintip itu tidur pada malam itu, Rahab naik ke bumbung rumah dan berkata kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu. Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik saja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi. Sekarang bersumpahlah demi TUHAN bahawa kamu akan memperlakukan keluargaku dengan baik sebagaimana aku telah memperlakukan kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan supaya aku dapat mempercayai kamu. Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!” Pengintip-pengintip itu berkata kepadanya, “Biarlah Allah membunuh kami jika kami tidak memenuhi janji kami. Jika engkau tidak memberitahu orang tentang kami ini, kami berjanji bahawa apabila TUHAN memberikan negeri ini kepada kami kelak, kami akan memperlakukan kamu dengan baik.” Rumah Rahab dibina pada tembok kota. Oleh itu, dengan menggunakan tali dia menurunkan pengintip-pengintip itu ke luar tembok melalui tingkap. Rahab berkata, “Pergilah ke kawasan perbukitan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja itu. Bersembunyilah di situ selama tiga hari sehingga para utusan itu kembali. Kemudian teruskanlah perjalanan kamu.” Para pengintip itu berkata kepada Rahab, “Kami akan memenuhi janji kami ini menurut permintaanmu. Lakukanlah hal ini. Apabila kami menyerang negeri kamu, ikatkanlah tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah ibu bapamu, saudara-saudaramu dan semua sanak keluarga bapamu di rumahmu. Sesiapa antara mereka yang keluar dari rumah ini, kematiannya bukanlah tanggungjawab kami; itu kesalahannya sendiri. Tetapi jika seseorang yang berada di rumahmu cedera, kamilah yang bertanggungjawab. Sebaliknya, jika kamu memberitahu orang tentang kami, bebaslah kami daripada janji kami ini.” Rahab menyetujui hal itu lalu menyuruh mereka pergi. Setelah mereka pergi, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya.

YOSUA 2:2-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Tetapi kemudian raja Yerikho diberitahu demikian, “Ketahuilah, ada beberapa orang Israel datang ke mari malam ini untuk mengintip negeri ini.” Maka raja Yerikho mengutus orang kepada Rahab dengan mengatakan, “Bawa ke luar orang yang datang kepadamu dan yang masuk ke rumahmu itu, kerana mereka datang untuk mengintip seluruh negeri ini!” Akan tetapi, perempuan itu membawa dua orang itu dan menyembunyikan mereka. Dia berkata, “Ya, memang mereka itu datang kepadaku, tetapi aku tidak tahu dari mana asalnya mereka. Pada waktu hari sudah gelap, kira-kira menjelang waktu pintu gerbang ditutup, mereka itu pergi. Aku tidak tahu ke mana mereka pergi. Segeralah kejar mereka. Tentu kamu dapat menyusul mereka.” Padahal, dia telah membawa mereka naik ke atap rumah dan menyembunyikan mereka di antara batang rami yang disusunnya di atas atap itu. Maka pergilah para pesuruh raja itu mengejar kedua-duanya ke arah Sungai Yordan, ke tempat-tempat penyeberangan. Segera sesudah semua yang mengejar mereka itu keluar, pintu gerbang ditutup. Sebelum dua orang itu tidur, perempuan itu naik mendapatkan mereka di atas bumbung. Katanya kepada mereka, “Aku tahu bahawa TUHAN telah mengurniakan negeri ini kepada kamu. Rasa ngeri terhadap kamu telah melanda kami, dan seluruh penduduk negeri ini gementar kerana kamu. Kami telah mendengar bagaimana TUHAN mengeringkan air Laut Merah di hadapanmu ketika kamu keluar dari Mesir, juga apa yang kamu lakukan terhadap dua orang raja bani Amori di seberang Sungai Yordan, iaitu Sihon dan Og, yang telah kamu tumpaskan itu. Sebaik sahaja kami mendengar hal itu, tawarlah hati kami. Tidak ada lagi baki semangat yang ada pada seorang pun kerana kamu, sebab TUHAN, Allahmu, ialah Allah di langit di atas dan di bumi di bawah. Sekarang, bersumpahlah kepadaku demi TUHAN bahawa kerana aku telah memperlakukan kamu dengan baik, maka kamu pun akan memperlakukan aku dan kaum keluargaku dengan baik. Berilah aku suatu tanda jaminan bahawa kamu akan membiarkan hidup ayahku, ibuku, saudara-saudaraku yang laki-laki dan perempuan serta semua orang yang ada pada mereka, dan bahawa kamu akan melepaskan nyawa kami daripada maut.” Lalu kata dua orang itu kepadanya, “Nyawa kamilah jaminan bagi nyawamu! Jika engkau tidak melaporkan urusan kami ini, maka pada waktu TUHAN mengurniakan negeri ini kepada kami, kami akan berlaku baik dan setia kepadamu.” Setelah itu, dia menurunkan mereka dengan tali melalui jendela, kerana rumahnya terletak pada tembok kota. Pada tembok itulah tempat dia tinggal. Katanya kepada mereka, “Larilah ke gunung supaya orang yang mengejar itu tidak menemukan kamu. Bersembunyilah di sana tiga hari lamanya hingga mereka pulang. Kemudian barulah kamu dapat meneruskan perjalananmu.” Kata dua orang itu kepadanya, “Kami akan menepati sumpah yang kami ucapkan atas permintaanmu itu. Apabila kami memasuki negeri ini, ikatkanlah tali daripada benang merah tua ini pada jendela tempat engkau menurunkan kami, dan kumpulkanlah ayahmu, ibumu, para saudaramu, serta seluruh kaum keluargamu di dalam rumahmu. Sesiapa pun yang keluar dari pintu rumahmu ke jalan, maka darahnya menjadi tanggungannya sendiri, kami tidak bersalah. Sebaliknya, siapa pun yang ada bersama-samamu di dalam rumah, maka darahnya menjadi tanggungan kami jika ada orang yang mencederakannya. Akan tetapi, jika engkau melaporkan urusan ini, maka bebaslah kami daripada sumpah yang kami ucapkan atas permintaanmu itu.” Jawabnya, “Aku setuju dengan apa yang kamu katakan.” Lalu dia menyuruh mereka pergi dan mereka pun berangkat. Kemudian dia mengikatkan tali merah itu pada jendela.