YOSUA 17

17
Suku Manasye Barat
1Sebahagian daripada tanah di sebelah barat Sungai Yordan diberikan kepada beberapa keluarga keturunan Manasye, anak sulung Yusuf. Makhir, bapa Gilead, ialah anak lelaki sulung Manasye; Makhir juga seorang pahlawan. Oleh itu, daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan diberikan kepadanya. 2Tanah di sebelah barat Sungai Yordan diberikan kepada keluarga suku Manasye yang lain: keluarga Abiezer, Helek, Asriel, Sikhem, Hefer, dan Semida. Mereka keturunan lelaki daripada Manasye anak Yusuf, dan mereka ketua-ketua keluarga. 3Tetapi Zelafehad anak Hefer, cucu Gilead, (Gilead ialah anak Makhir, cucu Manasye), tidak mempunyai anak lelaki. Zelafehad cuma mempunyai anak perempuan. Nama mereka ialah Makhla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. 4 Mereka menghadap Imam Eleazar, Yosua anak Nun, serta para pemimpin Israel, dan berkata, “TUHAN memerintah Musa supaya memberi kami bahagian tanah untuk menjadi milik kami seperti sanak saudara kami yang lelaki.” Oleh itu, sebagaimana yang diperintahkan TUHAN, mereka pun diberikan tanah bersama dengan beberapa orang saudara lelaki mereka. 5Itulah sebabnya suku Manasye mendapat sepuluh bahagian tanah, selain daerah Gilead dan Basan di sebelah timur Sungai Yordan, 6kerana keturunannya lelaki dan perempuan mendapat bahagian tanah. Tanah Gilead diberikan kepada keturunan Manasye yang lain.
7Sempadan wilayah Manasye bermula dari Asyer sampai ke Mikhmetat, di sebelah timur Sikhem. Dari sana sempadan itu menghala ke selatan, meliputi kawasan orang En-Tapuah. 8Tanah di sekitar Tapuah dimiliki oleh Manasye, tetapi kota Tapuah di sempadan wilayah itu dimiliki oleh keturunan Efraim. 9Dari situ sempadan itu turun sampai ke Sungai Kana. Kota-kota di sebelah selatan anak sungai itu dimiliki oleh Efraim, walaupun kota-kota itu di wilayah Manasye. Sempadan wilayah Manasye seterusnya mengikut pinggir bahagian utara anak sungai itu, lalu berakhir di Laut Tengah. 10Wilayah Efraim terletak di sebelah selatan, dan wilayah Manasye terletak di sebelah utara; Laut Tengah menjadi sempadan kedua-dua wilayah ini di sebelah barat. Wilayah Asyer terletak di barat laut dan wilayah Isakhar terletak di timur laut. 11Di dalam wilayah Isakhar dan Asyer, suku Manasye memiliki kota Bet-Sean dan Yibleam bersama dengan pekan-pekan di sekelilingnya, termasuk juga kota Dor (yang di tepi pantai), Endor, Taanakh, Megido, dan kota-kota di sekitarnya. 12Tetapi suku Manasye tidak dapat mengusir penduduk kota-kota itu. Oleh itu orang Kanaan masih tinggal di situ. 13 Bahkan selepas umat Israel menjadi lebih kuat, mereka tidak mengusir semua orang Kanaan. Umat Israel cuma dapat memaksa orang Kanaan bekerja untuk mereka.
Suku Efraim dan Suku Manasye Barat Minta Tanah Tambahan
14Keturunan Yusuf berkata kepada Yosua, “Mengapakah tuan memberi kami satu bahagian tanah saja sebagai milik kami? Bilangan kami besar kerana kami diberkati oleh TUHAN.”
15Yosua menjawab, “Jika bilangan kamu besar dan perbukitan Efraim terlalu kecil bagi kamu, pergilah ke hutan di tanah orang Feris dan orang Refaim. Bukalah tanah baru di hutan mereka itu.”
16Keturunan Yusuf menjawab, “Perbukitan itu tidak cukup besar bagi kami, tetapi orang Kanaan di dataran mempunyai kereta kuda daripada besi - baik orang Kanaan di Bet-Sean dan di pekan-pekan di sekitarnya, mahupun penduduk Lembah Yizreel.”
17Yosua berkata kepada suku Efraim dan suku Manasye Barat, iaitu keturunan Yusuf, “Bilangan kamu memang besar dan kamu sangat kuat. Kamu akan mendapat lebih daripada satu bahagian. 18Kawasan perbukitan itu juga akan menjadi milik kamu. Walaupun kawasan itu hutan, kamu akan memiliki seluruhnya dan membuka tanahnya. Kamu akan mengusir orang Kanaan, walaupun mereka bangsa yang kuat dan mempunyai kereta kuda daripada besi.”

Terpilih Sekarang Ini:

YOSUA 17: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk