YOSUA 10:7-15

YOSUA 10:7-15 BM

Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal. TUHAN berfirman kepada Yosua, “Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau.” Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak. TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan. Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel. Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata, “Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon. Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon.” Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu. Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel. Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami