AYUB 9
9
Ayub
1Kemudian Ayub menjawab,
2 “Ya, aku telah mendengar semuanya dahulu.
Tetapi bagaimanakah manusia boleh menang dalam perkaranya terhadap Allah?
3Bagaimanakah orang boleh berbantah dengan Dia?
Seribu soalan boleh diajukan oleh Allah,
tetapi satu pun tidak dapat dijawab oleh sesiapa.
4Allah amat bijak dan berkuasa
sehingga tiada seorang pun dapat menentang Dia.
5Dia memindahkan gunung dengan tiba-tiba,
dan memusnahkannya ketika murka.
6Allah menggempakan bumi dan menggegarkan tanah;
Dia menggoyangkan tiang penyangga dunia.
7Allah dapat melarang matahari terbit,
dan melarang bintang-bintang bersinar pada waktu malam.
8Tiada sesiapa yang menolong Allah membentangkan langit,
ataupun memijak belakang naga laut.
9 Allah menempatkan bintang-bintang di langit;
Biduk, Orion, Kartika, dan bintang-bintang selatan.
10Kita tidak dapat memahami perbuatan besar Allah,
dan mukjizat-Nya tidak terkira.
11Allah lalu di depanku, tetapi aku tidak nampak Dia.
Dia lalu di sampingku, tetapi bagiku tidak nyata.
12Dia mengambil apa yang dikehendaki-Nya,
dan tiada sesiapa pun dapat menahan Dia;
tiada sesiapa berani bertanya kepada-Nya,
“Engkau sedang buat apa?”
13Allah tidak menahan kemurkaan-Nya.
Dia menghancurkan musuh-Nya,
mereka yang menolong Rahab menentang Allah.
14Oleh itu, bagaimanakah aku dapat membantah Allah,
dan mencari perkataan untuk menjawab Dia?
15Sungguhpun aku tidak bersalah, apa dayaku
kecuali mohon belas kasihan daripada Allah, pengadilku?
16Jika Dia mengizinkan aku bercakap,
aku tidak percaya Dia akan mendengar aku.
17Dia meremukkan aku dengan ribut taufan,
dan menambah lukaku tanpa alasan.
18Dia tidak membenarkan aku menarik nafas;
Dia memenuhi hidupku dengan kepahitan.
19Haruskah aku mengadu tenaga dengan Dia?
Lihatlah, betapa hebatnya kekuatan-Nya.
Dapatkah aku membawa Dia ke mahkamah?
Siapakah yang dapat membuat Dia pergi?
20Aku setia dan tidak bersalah,
tetapi kata-kataku kedengarannya salah,
setiap kata yang keluar dari mulutku
seolah-olah menyalahkan diriku.
21-22Aku tidak bersalah, tetapi sekarang aku tidak peduli.
Aku bosan hidup. Tidak ada yang penting lagi.
Sama ada kita benar atau salah,
Allah akan membinasakan kita.
23Apabila orang yang tidak bersalah, mati dengan tiba-tiba,
Allah ketawa sahaja.
24Allah telah memberikan dunia ini kepada orang durjana,
dan menjadikan semua hakim buta.
Allah yang melakukan semua ini.
Kalau bukan Dia, siapa lagi?
25Hari-hariku berlalu dengan cepat sekali,
tetapi tiada satu hari pun yang menyenangkan hati.
26Seperti perahu laju, hidupku berlalu,
secepat helang menyambar mangsanya.
27-28Jika aku tersenyum dan cuba melupakan derita,
segala dukaku kembali memburu aku;
aku tahu bahawa Allah menyalahkan aku.
29Allah telah menyalahkan aku, peduli apa aku?
30Tiada sabun yang dapat menghilangkan dosaku.
31Allah melemparkan aku ke dalam kotoran,
hingga pakaianku pun menganggap aku menjijikkan.
32Sekiranya Allah itu manusia,
aku akan dapat menjawab Dia;
kami akan pergi ke tempat pengadilan
untuk membicarakan pertengkaran.
33Tetapi tiada sesiapa yang dapat menjadi pengantara
yang dapat mengadili kami berdua.
34Ya Allah, berhentilah menghukum aku,
berhentilah menakutkan aku.
35Aku tidak takut kepada-Nya dan akan bercakap kini,
kerana aku kenal akan hatiku sendiri.
Terpilih Sekarang Ini:
AYUB 9: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.