AYUB 41
41
1 Dapatkah engkau menangkap Lewiatan dengan mata kail?
Dapatkah engkau mengikat lidahnya dengan tali?
2Dapatkah engkau memasang tali pada muncungnya,
atau mencucukkan kail pada rahangnya?
3Mungkinkah Lewiatan memohon untuk dilepaskan
atau merayu kepadamu, minta belas kasihan?
4Mungkinkah Lewiatan membuat persetujuan dengan engkau,
dan berjanji melayan engkau selalu?
5Mungkinkah engkau mengikat Lewiatan seperti burung kesayangan,
yang menghiburkan hamba-hamba perempuan?
6Mungkinkah nelayan memperdagangkannya,
atau saudagar membahagi-bahagikannya antara mereka?
7Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan serampang,
ataupun menikam kepalanya dengan tempuling?
8Sentuhlah Lewiatan sekali sahaja dan engkau tidak akan mencuba lagi;
engkau tidak akan melupakan perlawanan itu!
9Sesiapa yang melihat Lewiatan
akan kehilangan semangat dan pengsan.
10Lewiatan garang apabila dibangunkan daripada tidurnya;
tiada seorang pun berani berdiri di hadapannya.
11 Siapakah yang dapat menyerangnya tanpa mendapat luka?
Tiada sesiapa pun di bumi dapat melakukannya.
12Aku akan memberitahu engkau tentang kaki makhluk raksasa itu,
dan tentang kekuatannya dan bentuk badannya yang tampan itu.
13Tiada sesiapa yang dapat mengoyakkan baju luarnya,
atau menembusi baju zirah yang dipakainya.
14Siapakah yang dapat membuka muncungnya yang kuat,
yang mempunyai gigi yang dahsyat?
15Belakangnya seperti perisai yang tersusun,
yang terlekat rapat dan keras seperti batu.
16Tindih-menindih, terikat erat
sehingga angin pun tidak dapat masuk meresap.
17Semuanya terlekat dengan sempurna
sehingga tidak dapat dipisahkan.
18Cahaya berkilau apabila Lewiatan bersin,
dan matanya bersinar seperti matahari yang terbit.
19Api keluar dari mulutnya,
dan bunga api berterbangan.
20Asap berkepul-kepul keluar dari hidungnya,
seperti periuk yang dipanaskan sehingga isinya mendidih.
21Nafasnya menyalakan bara;
api keluar dari mulutnya.
22Lehernya sangat kuat,
sehingga orang yang menemuinya takut.
23Tiada bahagian yang lemah pada kulitnya;
kulitnya keras dan tidak mungkin pecah.
24Hatinya seteguh batu, tidak kenal ketakutan,
dan keras seperti batu kisaran.
25Apabila Lewiatan bangun, orang terkuat pun hilang keberanian;
mereka tidak berdaya kerana sangat ketakutan.
26Tiada pedang yang dapat mencederakannya;
tiada tombak, panah, atau lembing dapat melukakannya.
27Besi dianggapnya seperti jerami,
dan gangsa seperti kayu reput.
28Tiada panah yang dapat membuatnya lari;
batu yang dilemparkan kepadanya, seperti serpihan jerami.
29Belantan dianggapnya seperti rumput kering,
dan Lewiatan tertawa apabila orang melemparkan lembing.
30Sisik pada perutnya seperti tembikar yang kasar dan tajam,
seperti alat pengirik yang mengorek lumpur.
31Laut dikacaunya sehingga menyerupai air mendidih,
dan seperti minyak yang berbuih-buih di dalam periuk.
32Ditinggalkannya jejak yang bercahaya,
laut diubahnya menjadi buih yang putih warnanya.
33Di atas bumi, Lewiatan tiada bandingan;
itulah makhluk yang tidak kenal takut.
34Binatang yang paling sombong pun dipandangnya hina;
antara semua binatang buas, Lewiatanlah raja.”
Terpilih Sekarang Ini:
AYUB 41: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.