AYUB 39

39
1Tahukah engkau waktunya kambing gunung dilahirkan induknya?
Pernahkah engkau melihat rusa liar melahirkan anaknya?
2Tahukah engkau lamanya kambing dan rusa mengandung?
Tahukah engkau saatnya kelahiran anaknya?
3Tahukah engkau waktunya binatang itu meringkuk,
dan melahirkan anak?
4Anak haiwan membesar dan menjadi kuat di hutan;
lalu pergi jauh dan tidak kembali kepada induknya.
5Siapakah yang memberikan keldai liar kebebasan?
Siapakah yang melepaskan serta membiarkan keldai liar berkeliaran?
6Akulah yang memberikan gurun kepada keldai liar sebagai kediamannya,
dan padang garam untuk tempat tinggalnya.
7Keldai liar menjauhi kota yang riuh-rendah,
dan tidak boleh dijinakkan untuk membuat kerja.
8Padang rumput di gunung ialah tempat makanannya,
di situ tumbuhan hijau dicarinya.
9Mahukah lembu liar bekerja untukmu,
atau rela bermalam di dalam kandang ternakmu?
10Dapatkah lembu liar diikat dan dipaksa membajak untukmu,
atau digunakan untuk menggaru ladangmu?
11Dapatkah engkau bergantung kepada tenaga lembu liar yang kuat
dan mengharapkannya membuat kerjamu yang berat?
12Adakah engkau mengharapkan lembu liar untuk mengumpulkan tuaian,
dan membawa hasil tanamanmu ke tempat mengirik?
13Sungguh cepat kepakan sayap burung unta!
Tetapi burung unta tidak dapat terbang seperti burung bangau.
14Burung unta bertelur di tanah lalu meninggalkannya,
dan pasir memanaskan telurnya.
15Burung unta tidak sedar bahawa mungkin orang memijak telurnya,
ataupun binatang liar memecahkan telurnya.
16Burung unta bertindak seolah-olah telur itu bukan kepunyaannya,
dan tidak peduli bahawa usahanya sia-sia sahaja.
17Akulah yang membuat burung unta bodoh dan bebal,
dan Aku tidak memberinya hikmat dan akal.
18Tetapi apabila burung unta berlari dengan kencang,
maka kalahlah kuda serta penunggang.
19Hai Ayub, engkaukah yang memberikan tenaga kepada kuda,
dan menjadikan surai yang melambai-lambai pada tengkuknya?
20Engkaukah yang menyuruh kuda melompat seperti belalang
dan dengan dengusnya menakutkan orang?
21Kuda menghentak tanah di lembah dengan gembira,
dan meluru ke medan pertempuran dengan sepenuh tenaga.
22Kuda tidak tahu ertinya takut,
dan tidak dapat diundurkan dengan pedang.
23Senjata yang dibawa penunggangnya
gemerincing dan gemerlapan kena cahaya.
24Dengan semangat yang menyala-nyala kuda berlari,
dan tidak dapat berdiri diam apabila trompet berbunyi.
25Kuda berdengus setiap kali trompet dibunyikan;
dari jauh tercium olehnya bau peperangan,
dan didengarnya perwira memekikkan arahan.
26Adakah daripada engkau burung rajawali belajar terbang,
ketika menuju ke selatan dengan sayap terkembang?
27Adakah burung helang menantikan suruhanmu
untuk membina sarangnya di gunung yang tinggi?
28Di atas gunung batu yang tertinggi burung helang membina kediamannya,
dan menjadikan puncak-puncak yang runcing sebagai kubunya.
29Dari situ burung helang mengawasi segala arah,
matanya mengintai mencari mangsa.
30 Di tempat yang ada bangkai, di situlah burung helang berkumpul;
dan anak-anak helang meminum darah mangsa.

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 39: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk