AYUB 13

13
1Segala yang kamu katakan pernah aku dengar dan lihat sendiri,
dan sungguh-sungguh kufahami.
2Apa yang kamu tahu, aku pun tahu;
aku tidak lebih rendah daripada kamu.
3Tetapi aku hendak berbicara dengan Yang Maha Kuasa,
aku hendak membela perkaraku dengan Allah.
4Kamu menutup kebodohan kamu dengan dusta;
kamu seperti doktor yang tidak berguna.
5Sekiranya kamu tidak berkata apa-apa,
mungkin orang berfikir kamu bijaksana!
6Dengarlah aku menyatakan perkaraku.
Perhatikanlah pembelaanku.
7Bolehkah demi Allah, kamu berdusta?
Bolehkah kamu berbohong demi kepentingan-Nya?
8Adakah kamu cuba membela Allah?
Adakah kamu hendak membela perkara-Nya?
9Jika Allah memeriksa kamu, bolehkah Dia mendapati kebaikan pada dirimu?
Dapatkah kamu menipu Allah seperti kamu menipu manusia?
10Walaupun prasangka kamu tersembunyi,
Dia akan menghukum kamu,
11dan kuasa-Nya akan menakutkan kamu.
12Pepatah kamu seperti abu yang tidak berguna;
pembelaan kamu seperti tanah liat yang mudah pecah.
13Diamlah, dan berilah aku peluang untuk berkata-kata,
aku tidak peduli akan akibatnya.
14Aku bersedia mempertaruhkan nyawa.
15Biarlah Allah membunuh aku kerana aku sudah putus asa,
namun aku akan membela perkaraku di hadapan-Nya.
16Mungkin keberanianku akan menyelamatkan aku,
kerana tiada orang jahat yang berani menghadap Allah.
17Sekarang dengarlah baik-baik perkataanku,
perhatikanlah penjelasanku.
18Aku bersedia menyatakan perkaraku,
kerana aku tahu bahawa tiada kesalahan padaku.
19Ya Allah, adakah Engkau hendak menuduh aku?
Jika demikian, aku akan diam dan menunggu ajalku.
20Aku akan menghadap Engkau
jika Engkau mengabulkan dua permohonanku:
21berhentilah menghukum aku,
dan jangan timpa aku dengan kedahsyatan-Mu.
22Berfirmanlah dahulu, ya Allah, dan aku akan menjawab.
Atau biarlah aku bercakap, lalu Engkau menjawab.
23Apakah kesalahan dan dosaku?
Sebutlah pelanggaran dan dosaku.
24Mengapakah Engkau menghindari aku,
dan memperlakukan aku seperti musuh?
25Adakah Engkau cuba menakutkan dan mengejar aku?
Aku hanya seperti daun yang ditiup angin
dan seperti jerami yang kering.
26Engkau mengemukakan tuduhan pahit terhadap aku;
Engkau membalas kesalahanku pada masa mudaku.
27 Engkau merantai kakiku;
Engkau mengawasi setiap langkahku
dan Engkau memeriksa jejakku.
28Oleh itu, aku menjadi rapuh seperti kayu reput,
seperti baju yang telah dimakan gegat.

Terpilih Sekarang Ini:

AYUB 13: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk