YOHANES 8:12-47

YOHANES 8:12-47 BM

Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.” Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, “Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.” Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi. Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun. Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku. Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar. Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.” “Bapamu itu di mana?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.” Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.” Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ” Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ” “Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu. Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.” Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.” Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.” Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”