Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.)
Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.”
Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, “Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?”
Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai.
Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit.
Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Yesus turun ke tasik, lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka. Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora. Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Yesus menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah takut, Aku Yesus!” Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui.
Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?”
Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.”
Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?”
Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.”
Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ”
Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.”
“Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.”
“Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya.
Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”