YOHANES 6:1-40

YOHANES 6:1-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, “Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?” ( Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.) Filipus menjawab, “Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.” Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, “Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?” Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Suruhlah mereka duduk.” (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.” Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, “Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit. Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Yesus turun ke tasik, lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka. Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora. Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Yesus menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Janganlah takut, Aku Yesus!” Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui. Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus. Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Guru, bilakah guru sampai di sini?” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?” Yesus berkata, “Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: ‘Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.’ ” Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.” “Guru,” kata mereka, “berilah kami roti itu selalu.” “Akulah roti yang memberikan hidup,” kata Yesus kepada mereka. “Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.”

YOHANES 6:1-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA adapun kumdian deripada pŭrkara pŭrkara itu, maka Isa pun mŭnyŭbranglah tasik Galilia, iya itu tasik Tiberia. Maka adalah tŭrlalu banyak orang mŭngikot dia, sŭbab dilihat ulih marika itu bŭbrapa mujizat yang diadakannya pada orang orang sakit itu. Hata maka Isa pun naiklah ka’atas sa’buah bukit, lalu dudoklah iya disana sŭrta dŭngan murid muridnya. Maka hampirlah hari langkah, iya itu hari raya orang Yahudi. ¶ Adapun apabila Isa mŭngangkat matanya, sŭtlah dilihatnya tŭrlalu banyak orang datang kapadanya, maka bŭrkatalah iya kapada Filipus, Dimanakah bulih kita dapat mŭmbli roti, supaya bulih dimakan ulih sagala orang ini? Adapun Isa bŭrkata itu sŭbab handak mŭnchobai dia, kŭrna dikŭtahui ulih Isa sŭndiri apa yang handak dipŭrbuatnya itu. Maka sahut Filipus, Dua ratus dinar punya roti tiada akan chukop kapada marika itu, supaya masing masing mŭngambil sa’orang sŭdikit. Maka bŭrkatalah sa’orang muridnya kapada Isa, iya itu Andria saudara Simon Petros. Bahwa ada kapada sa’orang orang budak disini lima buah roti, dan dua ekor ikan kŭchil, tŭtapi apa bulih jadi kapada orang sŭbanyak ini? Maka kata Isa, Surohkanlah dudok orang orang itu. Maka adalah ditŭmpat itu rumput banyak, maka dudoklah orang orang itu adalah kira kira lima ribu orang banyaknya. Maka diambil ulih Isa roti itu, sŭtlah sudah iya mŭnguchap shukor, maka dibahgikannya pada murid muridnya, dan murid muridnya pula mŭmbahgi kapada orang orang yang dudok itu, dan ikan ikan itu pun dŭmkianlah sŭbrapa dia orang mahu. Sŭtlah kŭnyanglah sagala orang itu, maka kata Isa kapada murid muridnya, Kampongkanlah sagala sisa yang tinggal tinggal itu, supaya jangan hilang suatu pun. Maka sŭbab itu dikampongkanlah ulih marika itu; lalu dipŭnohkannya duablas bakol sisa deripada lima buah roti bras Bŭlanda yang tŭrtinggal, lebih deripada marika itu sudah makan. Shahadan dŭmi dilihat ulih sagala orang itu akan mujizat yang tŭlah dipŭrbuat ulih Isa itu; maka bŭrkatalah marika itu, Bahwa sŭsunggohnya orang inilah Nabi yang patut datang kŭdalam dunia. ¶ Maka sŭbab itu apabila dikŭtahui ulih Isa, bahwa marika itu handak datang mŭngambil dia dŭngan krasnya, supaya dijadikannya dia raja; maka kŭmbalilah iya pula ka’atas sa’buah bukit itu sa’orang dirinya. Bŭrmula sŭtlah pŭtanglah hari, maka turonlah murid muridnya kŭtasik. Lalu naik kapada sa’buah pŭrahu, maka mŭnyŭbranglah marika itu mŭnuju kaKapŭrnaum; maka hari pun gŭlaplah, maka bŭlom juga Isa datang lagi kapada marika itu. Hata maka tasek itu pun bŭsarlah ombaknya sŭbab ditiup anging kras itu. Adapuu sŭtlah sudah marika itu bŭrdayong dua atau tiga mil jauhnya, maka dilihat marika itu Isa bŭrjalan diatas ayer dalam tasek itu lalu datang mŭnghampiri pŭrahu itu, maka kŭtakotanlah marika itu. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Aku; janganlah takot. Maka disambut marika itu akan dia dŭngan kŭrelaan hatinya masok kŭdalam pŭrahu, maka skutika itu juga pŭrahu itu pun sampielah kŭdarat ditŭmpat yang ditujunya itu. ¶ Bŭrmula maka pada kaesokkan harinya, apabila dilihat ulih orang banyak yang bŭrdiri disŭbrang pada tŭpi tasik itu, bahwa tiada pŭrahu lain disitu, hanyalah pŭrahu yang dimasokki murid murid Isa itu, tŭtapi Isa tiada bŭrsama sama masok pŭrahu itu dŭngan murid muridnya, mŭlainkan murid muridnya sŭndiri sahja bŭrlayar. Tŭtapi ada juga datang pŭrahu lain lain deri Tiberia, dŭkat katŭmpat orang banyak makan roti, iya itu apabila tŭlah diuchap shukor ulih Tuhan. Maka sŭbab itu apabila dilihat ulih marika itu skalian tiada Isa disana, dan murid muridnya pun tiada, maka marika itu pun naik pŭrahu, lalu datang ka‐Kapŭrnaum, sŭrta mŭnchari akan Isa. Adapun apabila marika itu mŭndapat akan dia disŭbrang tasik itu, maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Rabbi, bilakah angkau datang kŭmari ini? Maka sahut Isa kapada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, adapun kamu mŭnchari aku ini bukannya sŭbab kamu tŭlah mŭlihat mujizat itu, mŭlainkan sŭbab kamu sudah makan roti itu dŭngan kŭnyangnya. Maka janganlah kiranya kamu bŭrlŭlah lŭlah sŭbab mŭncharoti yang fana, mŭlainkan roti yang baka sampie hidop slama lamanya, yang tŭlah dibri ulih Anak manusia kapadamu, kŭrna dialah yang tŭlah dimutriekan ulih Allah Ayah itu. Arkian maka bŭrtanyalah marika itu kapadanya, Apakah yang patut kami bŭrbuat, supaya dapat kami mŭngŭrjakan sagala pŭkŭrjaan Allah? Maka sahut Isa pada marika itu, Bahwa inilah pŭkŭrjaan yang dikahandaki Allah, maka handaklah kamu pŭrchaya akan orang yang disurohnya itu. Maka sŭbab itu bŭrkatalah marika itu padanya, Apakah tandah yang angkau tunjokkan kapada kami yang bulih kami mŭlihat dan pŭrchaya akan dikau, apakah yang angkau kŭrja? Adapun nenek moyang kami skalian tŭlah makan maana dipadang bŭlantara spŭrti yang sudah tŭrsurat dalam kitab, Bahwa iya sudah mŭmbri makan pada marika itu roti deri langit. Maka bŭrkatalah Isa pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, Musa tiada mŭmbri kapadamu roti deri shorga itu; tŭtapi Ayahku ada mŭmbri padamu roti deri shorga yang bŭtol itu. Kŭrna roti Allah iya itulah dia yang turon deri shorga akan mŭnghidopkan isi dunia. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah marika itu kapadanya, Tuhan brilah kiranya pada kami sŭntiasa roti itu. Maka kata Isa pada marika itu, Bahwa aku inilah roti hidop itu, maka barang siapa yang datang kapadaku tiadalah iya akan lapar lagi, dan barang siapa yang pŭrchaya akan daku, tiadalah iya akan dahaga lagi. Tŭtapi aku bŭrkata padamu, kamu tŭlah mŭlihat akan daku, maka tiada juga kamu pŭrchaya. Sagala orang yang dibri ulih Ayahku akan daku itu nŭschaya datanglah iya kapadaku, maka barang siapa yang datang kapadaku itu, maka skali kali tiada aku mŭnolakkan dia. Kŭrna aku turon deri shorga bukannya sŭbab bŭrbuat kahandak diriku, mŭlainkan sŭbab kahandak iya yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka dŭmkianlah adanya kahandak Ayah itu yang tŭlah mŭnyurohkan aku, iya itu sagala orang yang dibrinya padaku itu janganlah sa’orang pun binasa, mŭlainkan patut aku hidopkan pula dia pada hari kumdian. Shahadan maka inilah kahandak Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku itu, Bahwa barang siapa yang mŭngŭnal Anak itu, dan pŭrchaya akan dia, maka iya itu bŭrulih hayat yang kŭkal, maka aku pun kŭlak mŭnghidopkan dia pada hari kumdian.

YOHANES 6:1-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus pergi ke seberang Laut Galilea yang juga dipanggil Laut Tiberias. Ramai orang mengikut-Nya setelah melihat mukjizat-Nya menyembuhkan orang sakit. Yesus mendaki sebuah bukit lalu duduk di situ bersama murid-murid-Nya. Pada masa itu Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba. Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?” (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.) Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.” Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!” Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Allah. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka. Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.” Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu. Apabila mereka melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus itu, mereka pun berkata, “Memang Dialah Nabi yang dinanti-nantikan datang ke dunia!” Yesus tahu bahawa mereka hendak datang dan memaksa-Nya menjadi raja. Oleh itu, Dia beredar sekali lagi ke bukit seorang diri. Setelah senja hari, para murid Yesus turun ke tasik. Mereka menaiki perahu menyeberangi tasik itu ke Kapernaum. Hari sudah gelap namun Yesus belum pulang mendapatkan mereka. Ketika itu tasik mulai bergelombang kerana angin bertiup kencang. Setelah para murid Yesus berkayuh tiga atau tiga setengah batu, mereka terpandang Dia berjalan di atas air ke arah perahu mereka, lalu mereka pun ketakutan. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Jangan takut, Aku Yesus!” Barulah mereka mahu menyambut-Nya naik ke perahu. Pada saat itu juga tibalah perahu itu ke tempat yang dituju. Pada keesokan harinya, orang ramai yang berada di seberang tasik menyedari bahawa di situ hanya ada sebuah perahu dan Yesus tidak menaiki perahu itu. Mereka tahu bahawa para murid Yesus telah bertolak menaiki perahu itu tanpa-Nya. Kemudian, beberapa buah perahu dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti selepas Tuhan mengucap syukur. Apabila mereka tidak melihat Yesus atau murid-murid-Nya, mereka pun menaiki perahu-perahu itu menuju ke Kapernaum untuk mencari Yesus. Ketika mereka bertemu dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, “Rabbi, bilakah Engkau sampai ke mari?” Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Allah Bapa telah memateraikan-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Allah?” Yesus berkata, “Inilah pekerjaan yang dikehendaki Allah iaitu supaya kamu percaya kepada Dia yang diutus-Nya.” Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah tanda ajaib yang dapat Kautunjukkan supaya kami melihatnya lalu percaya kepada-Mu? Apakah yang dapat Kaulakukan? Nenek moyang kami makan manna di gurun, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci: ‘Dia memberikan roti dari syurga untuk dimakan oleh mereka.’ ” Lalu Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, bukanlah Musa yang memberimu roti dari syurga tetapi Bapa-Ku yang memberimu roti sebenar dari syurga. Roti yang diberikan oleh Allah ialah Dia yang turun dari syurga dan memberi hidup kepada manusia di dunia.” Kemudian mereka berkata, “Tuhan, berilah kami roti itu selalu.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi. Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir. Demikianlah kehendak Bapa-Ku, iaitu setiap orang yang melihat Anak-Nya dan percaya kepada-Nya akan mendapat hidup yang kekal, dan Aku akan membangkitkannya pada hari akhir.”