YOHANES 5:31-47

YOHANES 5:31-47 BM

Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar. Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar. Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku. Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan. Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita. Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku. Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya. Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati. Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. Aku kenal akan kamu. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. Aku datang dengan kuasa Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut Aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia. Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah yang Esa. Janganlah sangka bahawa Aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itu, yang akan menuduh kamu. Jika kamu benar-benar percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya kepada-Ku, kerana Musa menulis tentang Aku. Kamu tidak percaya kepada apa yang ditulis oleh Musa, bagaimanakah kamu dapat percaya kepada apa yang Aku katakan?”