YOHANES 4:27-54

YOHANES 4:27-54 BM

Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, “Mahu apa?” atau bertanya kepada Yesus, “Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?” Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. Dia berkata, “Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?” Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus. Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, “Guru, silalah makan!” Tetapi Yesus menjawab, “Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.” Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, “Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?” Yesus berkata, “Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. Kamu berkata, ‘Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.’ Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. Benarlah pepatah ini: ‘Yang seorang menanam, yang lain menuai.’ Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.” Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, “Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.” Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari. Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. Mereka berkata kepada wanita itu, “Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.” Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. Yesus berkata, “Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.” Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska. Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.” Pegawai itu menjawab, “Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.” Lalu Yesus berkata, “Pergilah, anakmu akan sembuh.” Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh. Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, “Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.” Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, “Anakmu akan sembuh.” Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus. Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.