YOHANES 19:28-37

YOHANES 19:28-37 BM

Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. Yesus mengecapnya lalu berkata, “Sudah selesai!” Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal. Hari itu sehari sebelum hari Sabat. Para penguasa Yahudi tidak mahu mayat orang yang disalibkan masih di kayu salib pada hari Sabat, apalagi hari Sabat kali ini hari perayaan yang khas. Oleh itu mereka meminta kebenaran Pilatus untuk mematahkan kaki orang yang disalibkan dan menurunkan mayat-mayat itu dari kayu salib. Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus. Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus, mereka melihat bahawa Dia sudah meninggal. Oleh itu mereka tidak mematahkan kaki-Nya. Tetapi salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air. ( Demikianlah orang yang telah melihat kejadian ini memberikan kesaksiannya, supaya kamu pun percaya. Kesaksiannya benar dan dia tahu bahawa apa yang dikatakannya benar.) Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Tidak satu pun daripada tulang-Nya akan dipatahkan.” Di dalam Alkitab juga tertulis, “Orang akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan YOHANES 19:28-37