YOHANES 18:1-11

YOHANES 18:1-11 BM

Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.” Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. Apabila Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia,” mereka semua undur lalu rebah ke tanah. Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang dari Nasaret.” Yesus berkata, “Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.” ( Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, “Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.”) Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami