YEREMIA 9

9
1Alangkah baiknya jika kepalaku seperti perigi yang penuh dengan air,
dan mataku seperti pancuran yang terus mengalir,
supaya aku dapat menangis siang dan malam,
meratapi orang sebangsaku yang dibunuh lawan.
2Alangkah baiknya jika aku mempunyai tempat menginap di gurun,
supaya aku menjauhkan diri daripada bangsaku.
Mereka semua tidak setia,
mereka orang pengkhianat semuanya.
3Mereka selalu sedia untuk berdusta;
di seluruh negeri, yang benar tidak berkuasa,
sebaliknya ketidakjujuran merajalela.
TUHAN berfirman,
“Umat-Ku tidak henti-henti melakukan kejahatan,
mereka tidak mengakui Aku sebagai Allah mereka.”
4Setiap orang harus waspada terhadap kawan;
saudara sekandung pun tidak dapat dipercayai.
Mereka seperti Yakub yang menipu saudaranya,
dan setiap orang memfitnah kawannya.
5-6Mereka semua memperdaya kawan,
tidak seorang pun yang bercakap benar.
Mereka sudah biasa bercakap dusta,
mereka tidak mahu berhenti berdosa.
Kekejaman demi kekejaman,
penipuan demi penipuan,
terus-menerus dilakukan.
TUHAN berfirman bahawa umat-Nya
tidak mahu mengenali Dia.
7Oleh itu TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman,
“Seperti orang memurnikan logam, umat-Ku akan Kuuji,
supaya mereka menjadi murni.
Apa lagi yang dapat Kulakukan
terhadap umat-Ku yang telah melakukan kejahatan?
8Lidah mereka bagaikan panah yang berbisa;
mereka tidak habis-habis berdusta.
Kata-kata mereka manis memikat,
tetapi sebenarnya mereka memasang jerat.
9Tidakkah Aku harus menghukum mereka kerana perbuatan itu?
Tidakkah Aku harus membalas dendam terhadap bangsa seperti itu?
Aku, TUHAN, telah berfirman.”
10Aku, Yeremia, berkata, “Aku akan meratapi gunung-gunung
dan menangisi padang rumput,
kerana semuanya sudah kering
dan tidak dilalui orang.
Bunyi ternakan tidak kedengaran lagi;
burung serta binatang liar sudah lari dan pergi.”
11TUHAN berfirman,
“Aku akan menjadikan Yerusalem timbunan runtuhan,
tempat persembunyian anjing hutan.
Kota-kota Yehuda akan menjadi sunyi,
tempat yang tidak lagi dihuni.”
12Aku bertanya, “Ya TUHAN, mengapa negeri ini menjadi tandus dan kering seperti gurun, sehingga tiada orang melaluinya? Siapakah yang cukup bijak untuk mengerti akan semuanya? Kepada siapakah Engkau memberikan penerangan tentang hal ini supaya dia dapat memberitahu orang lain?”
13TUHAN menjawab, “Hal itu berlaku kerana umat-Ku tidak lagi memperhatikan ajaran yang Kuberikan kepada mereka. Mereka tidak mentaati Aku dan tidak mematuhi perintah-Ku. 14Mereka keras kepala dan menyembah berhala-berhala Baal seperti yang diajarkan oleh nenek moyang mereka. 15Oleh itu dengarlah apa yang akan Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, lakukan: Aku akan memberi umat-Ku tanaman pahit untuk dimakan dan racun untuk diminum. 16Aku akan mencerai-beraikan mereka antara bangsa-bangsa yang tidak dikenal oleh mereka atau nenek moyang mereka. Aku akan mengirim tentera untuk menyerang mereka sampai Aku membinasakan mereka sama sekali.”
Penduduk Yerusalem Berseru Minta Tolong
17TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada umat-Nya,
“Perhatikanlah apa yang sedang berlaku!
Panggillah peratap upahan.
Suruhlah perempuan-perempuan datang
dan menyanyikan lagu perkabungan.”
18Penduduk Yehuda berkata,
“Suruhlah mereka segera menyanyikan lagu perkabungan untuk kami,
sehingga mata kami dipenuhi air mata,
dan kelopak mata kami basah kerana menangis.”
19Dengarlah suara tangisan di Sion,
“Kami sudah hancur!
Kami sangat dipermalukan.
Kami harus meninggalkan negeri kami;
rumah kami sudah dirobohkan.”
20Aku berkata, “Dengarlah firman TUHAN, hai kaum wanita,
perhatikanlah firman-Nya.
Ajarlah anak-anak perempuan kamu cara meratap,
ajarlah kawan-kawan kamu
cara menyanyikan lagu perkabungan.
21Maut telah masuk melalui jendela,
dan masuk ke dalam istana kita;
maut telah menerkam anak-anak di jalan raya
dan kaum belia di lapangan terbuka.
22Mayat bertaburan di mana-mana,
seperti timbunan baja di tanah,
seperti gandum yang dipotong dan ditinggalkan oleh para penuai,
dan tidak dikumpulkan oleh sesiapa.
TUHAN menyuruh aku memberitakan perkhabaran itu.”
23TUHAN berfirman,
“Orang bijak tidak boleh berbangga kerana kebijaksanaan mereka,
orang kuat tidak boleh berbangga kerana kekuatan mereka,
dan orang kaya tidak boleh berbangga kerana kekayaan mereka.
24 Jika sesiapa hendak berbangga,
dia harus berbangga kerana dia mengenal dan memahami Aku,
dan bahawa Akulah TUHAN yang mengasihi orang selama-lamanya,
dan Aku melakukan yang adil dan benar.
Semua itu menyenangkan hati-Ku.
Aku, TUHAN, telah berfirman.”
25-26TUHAN berfirman, “Masanya akan tiba apabila Aku menghukum orang Mesir, Yehuda, Edom, Amon, Moab, dan penduduk padang gurun yang memendekkan rambut mereka. Semua orang itu telah bersunat, tetapi tidak memegang perjanjian yang dilambangkan oleh sunat itu. Tiada seorang antara mereka dan tiada seorang antara orang Israel yang memegang perjanjian-Ku.”

Terpilih Sekarang Ini:

YEREMIA 9: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk