YEREMIA 48

48
Negeri Moab Akan Dimusnahkan
1Demikianlah firman TUHAN tentang negeri Moab,
“Kasihanilah penduduk Nebo -
kota mereka sudah musnah!
Kota Kiryataim sudah direbut,
kubunya yang kuat sudah roboh,
dan rakyatnya dipermalukan;
2kemuliaan Moab sudah lenyap.
Musuh telah merebut kota Hesybon;
musuh berkomplot untuk memusnahkan bangsa Moab.
Kota Madmen akan menjadi lengang;
tentera musuh akan menyerangnya.
3Penduduk kota Horonaim berteriak,
‘Keganasan! Kehancuran!’
4Moab telah dimusnahkan;
dengarlah tangisan anak-anak.
5Dengarlah mereka menangis teresak-esak
di sepanjang jalan naik ke kota Luhit,
mereka menangis kerana sedih,
di sepanjang jalan turun ke kota Horonaim.
6‘Cepatlah!’ kata mereka.
‘Larilah dan selamatkanlah diri kamu!
Berlarilah seperti keldai liar di gurun!’
7Hai Moab, engkau berharap kepada kekuatan dan kekayaanmu,
tetapi sekarang engkau pun akan dikalahkan;
Kamos, dewa kamu, bersama dengan para imam dan pegawai pemerintah
akan dibuang ke negeri lain.
8Satu kota pun tidak akan terlepas daripada kemusnahan,
bukit dan lembah akan dimusnahkan!
Aku, TUHAN, telah berfirman.
9Sediakanlah batu nisan bagi Moab,
negeri itu segera akan dimusnahkan.
Kota-kotanya akan runtuh,
dan tidak akan dihuni orang lagi.”
10Kutuklah orang yang tidak melakukan pekerjaan TUHAN dengan sepenuh hati! Kutuklah orang yang tidak menghunus pedang dan melakukan pembunuhan!
Kota-Kota Moab Dimusnahkan
11TUHAN berfirman, “Selama ini Moab sentiasa hidup dengan aman, dan tidak pernah dibuang ke negeri lain. Moab seperti wain yang dibiarkan mengendap, tanpa diganggu atau dituang dari tempayan ke tempayan. Rasanya masih enak dan baunya masih harum.
12Oleh itu sekarang tibalah masanya Aku menyuruh orang menuang Moab seperti wain. Mereka akan mengosongkan tempayan wain lalu memecahkannya. 13Kemudian orang Moab akan dikecewakan oleh Kamos, dewa mereka, sebagaimana orang Israel dikecewakan oleh Betel, dewa yang dipercayai mereka.
14Hai penduduk negeri Moab,
mengapa kamu menganggap diri sebagai pahlawan,
dan sebagai askar perkasa yang diuji dalam pertempuran?
15Moab dan kota-kotanya telah dimusnahkan;
kaum mudanya yang terbaik telah dibunuh.
Akulah raja, TUHAN Yang Maha Kuasa,
dan Aku telah berfirman.
16Malapetaka untuk Moab sudah hampir tiba,
tidak lama lagi Moab akan musnah.
17Berkabunglah bagi bangsa itu,
hai penduduk yang berhampiran,
kamu semua yang kenal kemasyhurannya.
Katakanlah, ‘Kuasa pemerintahannya telah dihancurkan;
kemuliaan dan kekuatannya pun sudah lenyap.’
18Hai kamu yang tinggal di kota Dibon,
turunlah dari tempat kamu yang terhormat,
dan duduklah dalam debu di tanah.
Pemusnah Moab sudah tiba,
dan telah memusnahkan semua kubunya.
19Hai kamu yang tinggal di kota Aroer,
berdirilah di tepi jalan dan tunggulah;
tanyalah orang yang sedang melarikan diri,
tentang hal yang telah terjadi.
20Mereka akan menjawab, ‘Moab sudah jatuh!
Moab telah dipermalukan; tangisilah Moab.
Umumkanlah di sepanjang Sungai Arnon
bahawa Moab sudah musnah!’
21Hukuman telah dijatuhkan atas kota-kota di kawasan dataran tinggi: di Holon, Yahas, Mefaat, 22Dibon, Nebo, Bet-Diblataim, 23Kiryataim, Bet-Gamul, Bet-Meon, 24Keriot, dan Bozra. Semua kota negeri Moab, jauh dan dekat, telah dihukum. 25Kekuatan Moab telah dihancurkan; kuasanya telah dipatahkan. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Moab Akan Direndahkan
26TUHAN berfirman, “Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku, kerana itu buatlah dia mabuk. Moab akan berguling-guling dalam muntahnya sendiri, lalu ditertawakan orang. 27Hai Moab, adakah engkau ingat bahawa dahulu engkau mentertawakan umat Israel dan memfitnah mereka seolah-olah mereka tertangkap basah bersama-sama pencuri?
28Hai penduduk Moab, tinggalkanlah kota-kota kamu! Pergilah ke bukit batu dan tinggallah di sana seperti burung merpati yang membuat sarang di tebing jurang. 29Moab sangat sombong! Aku telah mendengar betapa sombong, congkak, dan angkuh penduduk Moab itu! Mereka terlalu memikirkan diri sendiri. 30Aku, TUHAN tahu akan kesombongan mereka! Cakap besar mereka kosong belaka, dan perbuatan mereka tidak berguna! 31Itulah sebabnya Aku akan menangisi semua penduduk negeri Moab dan Kir-Heres. 32Aku akan lebih menangisi penduduk Sibma daripada penduduk Yaezer. Hai kota Sibma, engkau seperti pokok anggur yang carangnya merambat sampai ke seberang Laut Mati, sejauh kota Yaezer. Tetapi sekarang buah-buah musim panasmu dan buah anggurmu telah dirosakkan. 33Kegembiraan dan sukacita telah lenyap dari tanah Moab yang subur. Aku telah menghentikan aliran wain dari pemerah wain; tiada lagi orang yang membuat wain dan bersorak gembira.
34Penduduk kota Hesybon dan Eleale menangis sehingga tangisan mereka kedengaran di Yahas, dan juga terdengar oleh orang dari Zoar sampai ke Horanaim dan Eglat-Selisia. Sungai Nimrim pun sudah kering. 35Aku akan menghentikan penduduk Moab daripada membakar korban di tempat-tempat pemujaan mereka, dan menghentikan mereka mempersembahkan korban kepada dewa-dewa mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.
36Semua harta milik penduduk Kir-Heres dan Moab sudah lenyap. Aku sedih melihat keadaan mereka; Aku seperti orang yang memainkan lagu perkabungan dengan sebatang suling. 37Mereka semua sudah mencukur rambut dan janggut, melukai tangan, dan memakai kain guni sebagai tanda bersedih. 38Di atas semua bumbung rumah dan di semua padang di Moab tiada terdengar apa-apa pun kecuali ratapan, kerana Aku telah menghancurkan Moab seperti tempayan yang tidak disukai orang. 39Moab telah dihancurkan! Menangislah! Moab telah dipermalukan! Moab telah runtuh. Semua negara jiran mentertawakan Moab. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
Moab Tidak Akan Terselamat
40TUHAN telah berjanji bahawa suatu bangsa akan menyambar Moab seperti seekor helang yang menyambar dengan sayap terkembang. 41Kota-kota dan kubu-kubunya akan direbut. Pada hari itu askar-askar Moab akan ketakutan seperti perempuan yang sedang bersalin. 42Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku. 43Kegentaran, lubang, dan perangkap sedang menunggu penduduk Moab. TUHAN telah berfirman. 44Orang yang cuba melepaskan diri daripada kegentaran itu akan jatuh ke dalam lubang, dan orang yang cuba keluar dari lubang itu akan masuk ke dalam perangkap, kerana TUHAN telah menentukan waktu kehancuran bagi Moab. 45Orang pelarian yang tidak berdaya cuba berlindung di Hesybon, kota yang pernah diperintah oleh Raja Sihon, tetapi sekarang kota itu sedang terbakar. Api telah menghanguskan kawasan di sempadan dan di kawasan pergunungan Moab, negeri orang yang suka berperang. 46Kasihanilah orang Moab! Bangsa yang menyembah Dewa Kamos telah musnah; anak lelaki dan anak perempuan mereka telah ditangkap sebagai orang tawanan.
47 Tetapi pada masa yang akan datang, TUHAN akan menjadikan Moab makmur semula. TUHAN telah berfirman bahawa semua perkara itu akan berlaku kepada Moab.

Terpilih Sekarang Ini:

YEREMIA 48: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk