YEREMIA 32:16-35

YEREMIA 32:16-35 BM

Selepas aku memberikan surat-surat pembelian itu kepada Barukh, aku berdoa, “Ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menciptakan langit dan bumi dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Tiada yang terlalu sukar bagi-Mu. Engkau menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada beribu-ribu orang, tetapi Engkau juga menghukum orang kerana dosa ibu bapa mereka. Engkaulah Allah yang agung dan perkasa; Engkaulah TUHAN Yang Maha Kuasa. Rancangan-Mu bijak dan perbuatan-Mu ajaib; Engkau nampak segala yang dilakukan manusia, dan membalas mereka setimpal dengan perbuatan mereka. Pada dahulu kala Engkau melakukan keajaiban dan hal-hal yang luar biasa di Mesir, dan sampai sekarang pun Engkau masih melakukannya, baik di kalangan orang Israel mahupun di kalangan semua bangsa lain. Dengan demikian Engkau termasyhur di merata tempat. Engkau membawa umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu. Engkau melakukan mukjizat dan keajaiban yang menggemparkan musuh. Engkau memberikan negeri yang baik dan subur ini kepada mereka, seperti yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka. Tetapi apabila mereka datang ke negeri ini dan mendudukinya, mereka tidak mentaati perintah-Mu, dan tidak hidup menurut ajaran-Mu. Mereka tidak melaksanakan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu Engkau mendatangkan segala bencana ini kepada mereka. Orang Babilonia telah membina tambak pengepungan di sekeliling kota untuk merampasnya, dan sekarang mereka sedang menyerangnya. Pertempuran, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan mereka. Engkau nampak bahawa semua yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan. Namun demikian, ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menyuruh aku membeli tanah di hadapan beberapa orang saksi, walaupun sebentar lagi kota akan ditawan oleh orang Babilonia.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Akulah TUHAN, Allah segenap manusia. Tiada yang terlalu sukar bagi-Ku. Aku akan menyerahkan kota ini kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Mereka akan merampas kota ini, dan membakarnya. Mereka akan membakarnya sampai habis bersama dengan rumah-rumah orang yang membangkitkan kemurkaan-Ku. Di bumbung rumah-rumah itu mereka telah membakar kemenyan kepada Baal dan mencurahkan wain sebagai persembahan kepada dewa-dewa. Sejak permulaan sejarah mereka, orang Israel dan orang Yehuda tidak menyenangkan hati-Ku, dan mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan perbuatan mereka. Sejak kota ini dibina, penduduknya telah menyebabkan Aku sangat murka. Aku telah mengambil keputusan untuk memusnahkan kota itu, kerana segala kejahatan yang dilakukan oleh orang Yehuda dan orang Yerusalem, bersama-sama raja dan para pemimpin, para imam dan nabi mereka. Mereka telah membelakangi Aku dan walaupun Aku terus mengajar mereka, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran. Malah Rumah-Ku yang dibina untuk tempat beribadat kepada-Ku telah dinajiskan oleh mereka dengan meletakkan berhala-berhala mereka yang menjijikkan di tempat itu. Mereka membina mazbah-mazbah untuk Baal di Lembah Hinom, dan mempersembahkan anak-anak mereka kepada Dewa Molokh. Padahal, Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal itu, bahkan tidak pernah timbul dalam fikiran-Ku bahawa mereka akan melakukan perbuatan sekeji itu dan menyebabkan orang Yehuda berdosa.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami