YEREMIA 32:16-35

YEREMIA 32:16-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas aku memberikan surat-surat pembelian itu kepada Barukh, aku berdoa, “Ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menciptakan langit dan bumi dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Tiada yang terlalu sukar bagi-Mu. Engkau menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada beribu-ribu orang, tetapi Engkau juga menghukum orang kerana dosa ibu bapa mereka. Engkaulah Allah yang agung dan perkasa; Engkaulah TUHAN Yang Maha Kuasa. Rancangan-Mu bijak dan perbuatan-Mu ajaib; Engkau nampak segala yang dilakukan manusia, dan membalas mereka setimpal dengan perbuatan mereka. Pada dahulu kala Engkau melakukan keajaiban dan hal-hal yang luar biasa di Mesir, dan sampai sekarang pun Engkau masih melakukannya, baik di kalangan orang Israel mahupun di kalangan semua bangsa lain. Dengan demikian Engkau termasyhur di merata tempat. Engkau membawa umat Israel keluar dari Mesir dengan kuasa dan kekuatan-Mu. Engkau melakukan mukjizat dan keajaiban yang menggemparkan musuh. Engkau memberikan negeri yang baik dan subur ini kepada mereka, seperti yang telah Engkau janjikan kepada nenek moyang mereka. Tetapi apabila mereka datang ke negeri ini dan mendudukinya, mereka tidak mentaati perintah-Mu, dan tidak hidup menurut ajaran-Mu. Mereka tidak melaksanakan satu pun daripada perintah-Mu. Oleh itu Engkau mendatangkan segala bencana ini kepada mereka. Orang Babilonia telah membina tambak pengepungan di sekeliling kota untuk merampasnya, dan sekarang mereka sedang menyerangnya. Pertempuran, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan mereka. Engkau nampak bahawa semua yang Engkau firmankan telah menjadi kenyataan. Namun demikian, ya TUHAN Raja, Engkaulah yang menyuruh aku membeli tanah di hadapan beberapa orang saksi, walaupun sebentar lagi kota akan ditawan oleh orang Babilonia.” Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Akulah TUHAN, Allah segenap manusia. Tiada yang terlalu sukar bagi-Ku. Aku akan menyerahkan kota ini kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya. Mereka akan merampas kota ini, dan membakarnya. Mereka akan membakarnya sampai habis bersama dengan rumah-rumah orang yang membangkitkan kemurkaan-Ku. Di bumbung rumah-rumah itu mereka telah membakar kemenyan kepada Baal dan mencurahkan wain sebagai persembahan kepada dewa-dewa. Sejak permulaan sejarah mereka, orang Israel dan orang Yehuda tidak menyenangkan hati-Ku, dan mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan perbuatan mereka. Sejak kota ini dibina, penduduknya telah menyebabkan Aku sangat murka. Aku telah mengambil keputusan untuk memusnahkan kota itu, kerana segala kejahatan yang dilakukan oleh orang Yehuda dan orang Yerusalem, bersama-sama raja dan para pemimpin, para imam dan nabi mereka. Mereka telah membelakangi Aku dan walaupun Aku terus mengajar mereka, mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima pengajaran. Malah Rumah-Ku yang dibina untuk tempat beribadat kepada-Ku telah dinajiskan oleh mereka dengan meletakkan berhala-berhala mereka yang menjijikkan di tempat itu. Mereka membina mazbah-mazbah untuk Baal di Lembah Hinom, dan mempersembahkan anak-anak mereka kepada Dewa Molokh. Padahal, Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan hal itu, bahkan tidak pernah timbul dalam fikiran-Ku bahawa mereka akan melakukan perbuatan sekeji itu dan menyebabkan orang Yehuda berdosa.”

YEREMIA 32:16-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah surat pembelian itu kuserahkan kepada Barukh anak Neria, aku pun berdoa kepada TUHAN, ‘Ah, ya Tuhan ALLAH, sesungguhnya Engkaulah yang menjadikan langit dan bumi dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan lengan-Mu yang terhulur. Tidak ada sesuatu hal yang mustahil bagi-Mu. Engkau menunjukkan kasih abadi kepada beribu-ribu orang dan membalas kesalahan nenek moyang kepada anak cucu. Ya Allah yang besar dan perkasa, yang bernama TUHAN alam semesta, rancangan-Mu besar dan pekerjaan-Mu agung. Pandangan-Mu terarah pada segala jalan hidup anak-anak manusia, dan Engkau mengganjar setiap orang menurut jalan hidupnya serta menurut hasil perbuatannya. Engkaulah yang mengadakan tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat di Tanah Mesir dan melanjutkannya sampai hari ini, baik antara orang Israel mahupun antara umat manusia. Engkau menjadikan diri-Mu masyhur sebagaimana nyata pada hari ini. Engkau telah membawa umat-Mu Israel keluar dari Tanah Mesir dengan tanda dan mukjizat, dengan tangan yang perkasa dan lengan yang terhulur, dan dengan kedahsyatan yang besar. Engkau telah mengurniakan kepada mereka tanah ini, yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang mereka untuk dikurniakan kepada mereka, sebuah negeri yang berlimpah-limpah susu dan madu. Mereka masuk dan mendudukinya, tetapi mereka tidak mahu mematuhi-Mu atau menuruti hukum-Mu. Mereka tidak melakukan segala sesuatu yang Kauperintahkan kepada mereka untuk dilakukan. Itulah sebabnya Engkau menimpakan segala malapetaka ini kepada mereka. Lihatlah, tambak-tambak pengepung yang digunakan untuk merebut kota ini datang mendekatinya. Melalui pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit, kota ini telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim yang memeranginya. Apa yang Kaufirmankan telah terjadi. Sungguh, Engkau melihatnya. Engkau telah berfirman kepadaku, ya Tuhan ALLAH, “Belilah ladang itu dengan perak dan datangkanlah para saksi,” padahal kota ini telah diserahkan ke dalam tangan orang Kasdim.’ ” Datanglah firman TUHAN kepada Yeremia demikian, “Sesungguhnya, Akulah TUHAN, Allah semua manusia. Adakah sesuatu hal yang mustahil bagi-Ku? Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku akan menyerahkan kota ini ke dalam tangan orang Kasdim dan ke dalam tangan Nebukadnezar, raja Babel. Dia akan merebutnya. Orang Kasdim yang memerangi kota ini akan datang dan membakar habis kota ini. Mereka akan membakarnya bersama-sama rumah-rumah yang bumbungnya menjadi tempat membakar dupa bagi Baal dan tempat mencurahkan persembahan minuman kepada tuhan-tuhan lain untuk membangkitkan murka-Ku. Sungguh, bani Israel dan bani Yehuda semata-mata melakukan apa yang jahat di mata-Ku sejak masa muda mereka. Bani Israel semata-mata membangkitkan murka-Ku dengan perbuatan tangan mereka, demikianlah firman TUHAN. Kota ini telah membangkitkan amarah-Ku dan murka-Ku sejak pertama kali dibangunkan sampai hari ini, sehingga Aku harus menyingkirkannya dari hadapan-Ku, kerana segala kejahatan yang dilakukan bani Israel dan bani Yehuda untuk membangkitkan murka-Ku — baik mereka, raja-raja mereka, para pembesar mereka, para imam mereka, para nabi mereka, orang Yehuda, mahupun penduduk Yerusalem. Mereka menghadapkan belakang kepada-Ku, bukan muka. Sungguhpun Aku mengajar mereka terus-menerus, mereka tidak mahu mendengar dan menerima pengajaran. Mereka menaruh tuhan mereka yang menjijikkan di dalam bait yang disebut dengan nama-Ku, sehingga bait itu menjadi najis. Mereka membangunkan bukit-bukit pemujaan bagi Baal di Lembah Ben-Hinom untuk mempersembahkan anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan sebagai korban yang dibakar bagi Molokh — hal yang tidak pernah Kuperintahkan kepada mereka, dan tidak pernah timbul dalam hati-Ku bahawa mereka harus melakukan kekejian itu — sehingga orang Yehuda berdosa.

YEREMIA 32:16-35

YEREMIA 32:16-35 BMYEREMIA 32:16-35 BM