YEREMIA 25
25
Musuh dari Utara
1 Pada tahun keempat selepas Yoyakim putera Raja Yosia menjadi raja Yehuda, aku mendapat perkhabaran daripada TUHAN tentang semua penduduk Yehuda. (Hal ini berlaku pada tahun pertama pemerintahan Raja Nebukadnezar di Babilonia.) 2Aku berkata kepada semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, 3“Selama dua puluh tiga tahun, sejak tahun ketiga belas Raja Yosia putera Raja Amon memerintah di Yehuda sampai hari ini, TUHAN telah berfirman kepadaku dan aku tidak pernah lalai menyampaikan apa yang telah difirmankan-Nya kepada kamu. Tetapi kamu tidak pernah memperhatikannya. 4TUHAN terus-menerus mengutus para nabi, iaitu hamba-hamba-Nya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu mendengarkan dan memperhatikan mereka. 5Mereka menyuruh kamu meninggalkan cara hidup yang jahat dan perbuatan yang berdosa, supaya kamu akan tetap tinggal di negeri yang telah diberikan oleh TUHAN kepada kamu dan kepada nenek moyang kamu sebagai milik pusaka. 6Nabi-nabi itu melarang kamu menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Mereka juga melarang kamu memuja berhala-berhala buatan kamu sendiri, kerana hal itu membangkitkan kemurkaan TUHAN. Jika kamu mentaati perintah TUHAN itu, Dia tidak akan menghukum kamu. 7Tetapi TUHAN sendiri berfirman bahawa kamu tidak mahu mendengarkan Dia. Malah kamu membangkitkan kemurkaan-Nya dengan berhala-berhala kamu. Kamu sendiri telah mendatangkan hukuman-Nya atas kamu.
8Oleh sebab kamu tidak mahu mendengarkan firman-Nya, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, 9‘Aku akan memanggil semua bangsa dari utara, dan juga hamba-Ku, Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Aku akan mengerahkan mereka supaya memerangi Yehuda dan penduduknya serta memerangi semua bangsa di sekitarnya. Aku akan membinasakan penduduk Yehuda bersama dengan bangsa-bangsa di sekitarnya, dan membiarkan mereka hancur selama-lamanya. Sesiapa yang nampak mereka akan terkejut dan berasa ngeri. Aku, TUHAN, telah berfirman. 10 Aku akan menghentikan sorak kegembiraan dan pesta perkahwinan mereka. Mereka tidak akan mempunyai minyak untuk pelita, dan gandum mereka akan habis. 11 Aku akan membiarkan seluruh negeri ini hancur dan menjadi tempat yang menggerunkan. Bangsa-bangsa di sekitarnya akan mengabdi kepada raja Babilonia selama tujuh puluh tahun. 12Selepas itu Aku akan menghukum orang Babilonia dan raja mereka kerana dosa mereka. Aku akan memusnahkan negeri Babilonia dan membiarkannya menjadi runtuhan selama-lamanya. 13Aku akan menghukum Babilonia dengan semua bencana yang telah Aku rancang untuk ditimpakan kepada bangsa-bangsa ketika Aku berfirman melalui Yeremia, iaitu semua bencana yang dicatat di dalam kitab ini. 14Aku akan membalas perbuatan orang Babilonia; mereka akan diperhamba oleh raja-raja besar dan oleh banyak bangsa.’ ”
Hukuman Allah terhadap Bangsa-Bangsa
15TUHAN, Allah Israel berfirman kepadaku, “Inilah cawan wain yang telah diisi dengan kemurkaan-Ku. Bawalah cawan ini kepada semua bangsa, dan suruhlah mereka minum dari cawan ini. Aku mengutus engkau kepada mereka. 16Apabila mereka minum dari cawan ini, mereka akan terhuyung-hayang dan hilang akal kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka.”
17Oleh itu aku mengambil cawan itu dari tangan TUHAN, lalu pergi kepada semua bangsa; TUHAN telah mengutus aku kepada mereka. Kemudian aku memberi mereka minum dari cawan itu. 18Yerusalem dan semua kota di Yehuda, bersama dengan raja-raja dan para pemimpin mereka, disuruh minum daripada cawan itu sehingga mereka menjadi seperti gurun yang mengerikan. Nama mereka akan digunakan sebagai kutuk, seperti yang berlaku sampai hari ini.
19-26Inilah senarai nama orang lain yang harus minum dari cawan itu:
raja Mesir, para pegawai dan pemimpinnya;
semua orang Mesir dan semua bangsa asing di Mesir;
semua raja di tanah Us;
semua raja Filistin di kota Askelon, Gaza, Ekron, dan orang yang masih hidup di Asdod;
semua orang Edom, Moab, dan Amon;
semua raja di Tirus dan Sidon;
semua raja di kawasan pantai Laut Tengah;
kota Dedan, Tema, dan Bus;
semua orang yang memendekkan rambut mereka;
semua raja Arab;
semua raja suku yang tinggal di gurun;
semua raja di Zimri, Elam, dan Madai;
semua raja di utara, jauh dan dekat, seorang demi seorang.
Semua bangsa di seluruh muka bumi mesti minum dari cawan itu. Orang terakhir yang mesti minum dari cawan itu ialah raja Babilonia.
27Kemudian TUHAN berfirman kepadaku, “Beritahulah semua orang itu bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan mereka minum sampai mabuk dan muntah. Mereka akan jatuh dan tidak dapat bangun lagi kerana peperangan yang Aku datangkan kepada mereka. 28Jika mereka tidak mahu mengambil cawan itu dari tanganmu dan tidak meminumnya, beritahulah mereka bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman bahawa mereka tetap diwajibkan minum dari cawan itu. 29Aku akan memulakan pemusnahan itu di kota-Ku sendiri. Adakah mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dihukum? Mereka tentu akan dihukum kerana Aku akan mendatangkan peperangan kepada semua bangsa di seluruh bumi. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.
30Hai Yeremia, semua yang Aku firmankan kepadamu, harus engkau isytiharkan. Engkau mesti berkata kepada mereka,
‘TUHAN akan mengaum dari syurga;
Dia akan mengguntur dari kediaman-Nya yang suci.
Dia akan bergemuruh melawan umat-Nya;
Dia akan memekik seperti orang yang memeras buah anggur.
Setiap orang di bumi akan mendengar-Nya,
31sampai ke hujung bumi suara-Nya bergema.
TUHAN mengajukan perkara terhadap bangsa-bangsa.
Dia akan mengadili semua orang
dan membinasakan orang jahat.
TUHAN telah berfirman.’ ”
32TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman bahawa bencana akan menimpa bangsa demi bangsa, dan badai sedang berkecamuk di hujung-hujung bumi. 33Pada hari itu mayat orang yang dibinasakan oleh TUHAN akan bergelimpangan di seluruh muka bumi. Mereka tidak akan diratapi, tidak pula diangkat untuk dikuburkan, melainkan dibiarkan sahaja di tanah seperti timbunan baja.
34Menangislah, hai para pemimpin, kamu yang menjadi gembala umat-Ku, menangislah kuat-kuat! Merataplah dan berguling-gulinglah dalam debu, kerana sudah tiba masanya kamu dibantai; kamu akan disembelih seperti domba jantan. 35Kamu pasti tidak dapat menyelamatkan diri. 36-37Kamu mengerang dan menangis dengan pilu kerana TUHAN dalam kemurkaan-Nya telah membinasakan bangsa kamu serta memusnahkan negeri kamu yang aman. 38TUHAN telah meninggalkan umat-Nya seperti singa yang meninggalkan guanya. Kedahsyatan peperangan dan kemurkaan TUHAN telah mengubah negeri ini menjadi gurun.
Terpilih Sekarang Ini:
YEREMIA 25: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.