YEREMIA 13
13
Sarung Pendek daripada Kain Linen
1TUHAN menyuruh aku pergi membeli sarung pendek daripada kain linen lalu memakainya, tetapi Dia melarang aku mencelupkannya ke dalam air. 2Oleh itu, aku pergi membeli sarung pendek itu, lalu memakainya. 3Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi, 4“Pergilah ke Sungai Efrat dan sembunyikan sarung pendek itu di celah bukit batu.” 5Kemudian aku pergi menyembunyikan sarung pendek itu dekat Sungai Efrat.
6Beberapa waktu kemudian TUHAN menyuruh aku pergi lagi ke Sungai Efrat untuk mengambil sarung pendek itu. 7Maka aku pergi, lalu mengeluarkan sarung pendek itu dari tempat aku menyembunyikannya. Ternyata sarung itu telah lapuk dan sama sekali tidak berguna lagi.
8Kemudian TUHAN berfirman kepadaku lagi, 9“Begitulah caranya Aku akan bertindak terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem. Aku akan menghancurkan keangkuhan mereka. 10Bangsa yang jahat ini tidak mahu taat kepada-Ku. Mereka masih degil dan jahat seperti dahulu. Mereka beribadat dan mengabdikan diri kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya mereka akan menjadi seperti sarung pendek yang tidak berguna itu. 11Sebagaimana sarung pendek terikat erat pada pinggang pemakainya, demikianlah maksud-Ku bagi umat Israel dan Yehuda supaya terikat erat kepada-Ku. Dengan demikian mereka akan menjadi umat-Ku dan mendatangkan pujian dan hormat bagi nama-Ku. Tetapi mereka tidak mahu taat kepada-Ku.”
Kendi Wain
12TUHAN Allah berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, beritahulah orang Israel bahawa setiap kendi wain mesti dipenuhi wain. Mereka akan menjawab, ‘Adakah kami tidak tahu bahawa setiap kendi wain harus dipenuhi wain?’ 13Kemudian katakanlah kepada mereka bahawa Aku, TUHAN akan memenuhi orang di negeri ini dengan wain sehingga mereka mabuk: raja-raja keturunan Daud, para imam, nabi, dan semua penduduk Yerusalem. 14Selepas itu Aku akan menghantukkan mereka satu sama lain, seperti kendi dihantukkan. Orang tua dan muda akan Kuperlakukan demikian tanpa ampun. Aku akan membinasakan mereka tanpa rasa sayang atau belas kasihan.”
Yeremia Memberikan Amaran tentang Keangkuhan
15Hai umat Israel, TUHAN telah berfirman!
Rendahkanlah hati kamu dan dengarlah firman-Nya.
16Hormatilah TUHAN, Allah kamu
sebelum Dia mendatangkan kegelapan,
dan kaki kamu tersandung di pergunungan;
sebelum terang yang kamu harapkan
diubah menjadi kekelaman.
17Jika kamu tidak mahu mendengarkan Dia,
aku akan menangis dengan diam-diam
kerana keangkuhan kamu.
Aku akan menangis dengan pilu,
air mataku akan berlinang
kerana umat TUHAN telah ditawan musuh.
18TUHAN berfirman kepadaku, “Suruhlah raja dan bonda raja turun dari takhta mereka, kerana mahkota mereka yang indah sudah jatuh dari kepala. 19Kota-kota Yehuda di bahagian selatan sedang dikepung, dan tiada orang yang dapat menembusi kepungan itu. Semua penduduk Yehuda telah dibuang negeri.”
20Hai Yerusalem, lihatlah! Musuh kamu sedang datang dari utara! Di manakah orang yang harus kamu lindungi, orang yang sangat kamu banggakan itu? 21Apakah yang akan kamu katakan apabila orang yang kamu anggap sebagai kawan, mengalahkan serta menguasai kamu? Tentu kamu akan berasa sakit seperti perempuan yang sedang bersalin. 22Mungkin kamu bertanya mengapa semuanya itu menimpa diri kamu; mengapa pakaian kamu dikoyak dan mengapa kamu dirogol. Ketahuilah bahawa semua itu berlaku kerana dosa kamu terlalu besar. 23Dapatkah orang hitam mengubah warna kulitnya, atau harimau bintang menghilangkan tompoknya? Tentu tidak! Begitu juga dengan kamu yang biasa berbuat jahat, tidak mungkin berbuat baik. 24TUHAN akan mencerai-beraikan kamu seperti jerami yang ditiup angin dari gurun. 25Dia telah berfirman bahawa itulah kesudahan kamu. Itulah yang ditentukan-Nya untuk dilakukan terhadap kamu kerana kamu telah melupakan Dia dan percaya kepada tuhan-tuhan palsu. 26TUHAN sendiri akan menanggalkan pakaian kamu sehingga kamu telanjang dan dipermalukan. 27Dia telah nampak kamu melakukan hal-hal yang dibenci-Nya. Dia telah nampak kamu mengejar dewa-dewa di bukit dan di padang, seperti seorang lelaki tergila-gila terhadap isteri orang lain atau seperti seekor kuda jantan berahi terhadap kuda betina. Hai penduduk Yerusalem, malang akan menimpa kamu! Bilakah kamu layak beribadat kepada-Ku lagi?
Terpilih Sekarang Ini:
YEREMIA 13: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.