Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!”
Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.”
Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.”
Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.”
TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.”
Gideon berkata, “Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku. Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan.”
Dia menjawab, “Aku akan menunggu sehingga engkau kembali.”
Oleh itu Gideon pulang ke rumah lalu memasak seekor kambing muda. Dia juga mengambil sepuluh kilogram tepung, kemudian membuat roti yang tidak beragi. Dia meletakkan daging itu di dalam bakul dan kuahnya di dalam belanga, lalu membawa semua itu dan menghidangnya kepada malaikat yang sedang menunggu di bawah pokok oak. Malaikat TUHAN berkata kepadanya, “Letakkanlah daging dan roti itu di atas batu ini dan tuanglah kuah daging itu ke atas semuanya.” Gideon berbuat demikian. Kemudian malaikat TUHAN menghulurkan kayu yang dipegangnya, dan menyentuh daging dan roti dengan hujung kayu itu. Batu itu menyala lalu menghanguskan daging dan roti itu. Kemudian malaikat itu hilang dari pandangan.
Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, “Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!”
Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, “Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati.” Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan”. Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer.
Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Ambillah seekor lembu jantan milik bapamu, iaitu lembu jantan yang terbaik yang berumur tujuh tahun. Bongkarlah mazbah yang dibina oleh bapamu untuk Baal, dan robohlah tiang lambang Dewi Asyera yang di sisi mazbah itu. Binalah sebuah mazbah yang batunya disusun dengan baik di atas timbunan itu; mazbah itu bagi TUHAN, Allahmu. Kemudian ambillah lembu itu dan bakarlah seluruhnya sebagai korban. Gunakanlah tiang lambang Dewi Asyera yang telah engkau robohkan itu sebagai kayu api.” Kemudian Gideon memilih sepuluh orang hambanya, lalu pergi melakukan apa yang diperintahkan TUHAN. Oleh sebab dia takut terhadap keluarganya dan penduduk kota itu, dia tidak berani melakukannya pada siang hari. Dia melakukannya pada waktu malam.