YESAYA 63

63
Kemenangan TUHAN terhadap Bangsa-Bangsa
1“Siapakah dia yang datang dari kota Bozra di Edom? Siapakah dia yang berpakaian merah dan berjalan dengan gagah perkasa?”
“Dia TUHAN yang berkuasa untuk menyelamatkan. Dia datang untuk mengumumkan kemenangan-Nya.”
2“Mengapakah pakaian-Nya semerah itu, seperti pakaian orang yang memijak buah anggur?”
3 TUHAN menjawab, “Aku telah memijak bangsa-bangsa seperti orang memijak buah anggur. Tiada sesiapa antara umat-Ku menolong Aku. Aku memijak bangsa-bangsa dengan murka sehingga darah mereka mengotorkan pakaian-Ku. 4Masa untuk menyelamatkan umat-Ku telah tiba; masa untuk menghukum musuh-musuh-Ku sudah sampai. 5 Aku hairan kerana tidak mendapati seorang pun ketika Aku mencari orang untuk menolong Aku. Tetapi kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar menjadikan Aku kuat, dan Aku menang dengan kekuatan-Ku sendiri. 6 Dengan murka Aku memijak-mijak semua bangsa dan menghancurkan mereka. Aku mencurahkan darah mereka ke tanah.”
Kebaikan TUHAN kepada Israel
7Aku akan menceritakan kasih TUHAN;
aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya.
Dia telah memberkati umat Israel dengan berlimpah-limpah
kerana rahmat-Nya dan kasih-Nya tidak berkesudahan.
8TUHAN berfirman, “Mereka umat-Ku; mereka tidak akan menipu Aku.” Oleh itu Dia menyelamatkan mereka 9daripada segala penderitaan. Bukan utusan ataupun malaikat, tetapi TUHAN sendiri yang menyelamatkan mereka. Demi kasih dan belas kasihan-Nya Dia menyelamatkan mereka. Sejak dahulu Dia telah memelihara umat itu, 10tetapi mereka memberontak terhadap-Nya dan menyedihkan hati-Nya. Oleh itu TUHAN memusuhi dan melawan mereka.
11Tetapi kemudian mereka teringat akan masa silam, iaitu zaman Musa, hamba TUHAN. Lalu mereka bertanya, “Di manakah TUHAN, yang telah menuntun umat dan para pemimpin mereka melalui laut? Di manakah TUHAN, yang telah memberikan kuasa-Nya kepada mereka? 12-13 Di manakah TUHAN, yang dengan kuasa-Nya telah melakukan perkara-perkara ajaib melalui Musa? Dia membelah air laut dan memimpin umat-Nya menyeberangi laut yang dalam, sehingga nama-Nya termasyhur selama-lamanya.”
Seperti kuda liar mereka tidak tersandung kerana TUHAN memimpin mereka. 14Sebagaimana ternak dipimpin ke lembah yang subur, demikian juga TUHAN memimpin umat-Nya dan memberi mereka rehat. Dia memimpin umat-Nya dan mendatangkan kehormatan bagi nama-Nya.
Doa Minta Belas Kasihan dan Pertolongan
15Ya TUHAN, pandanglah kami dari syurga, tempat kediaman-Mu yang suci dan mulia. Di manakah kasih dan keperkasaan-Mu? Di manakah kasih dan belas kasihan-Mu? Janganlah tahan semua itu daripada kami. 16Engkaulah Bapa kami. Nenek moyang kami Abraham dan Yakub tidak mengenal kami, tetapi Engkaulah Bapa kami, ya TUHAN! Engkau Penyelamat kami sejak dahulu kala. 17Tetapi sekarang mengapakah Engkau membiarkan kami sesat? Mengapakah Engkau membiarkan kami berdegil sehingga kami tidak takut akan Engkau? Kembalilah kepada kami, demi mereka yang mengabdikan diri kepada-Mu, dan demi umat yang sentiasa menjadi milik-Mu.
18Kami umat-Mu yang suci telah diusir oleh musuh kami untuk sementara waktu. Mereka menginjak-injak Rumah-Mu, 19dan Engkau memperlakukan kami seolah-olah Engkau tidak pernah menjadi penguasa kami, seolah-olah kami tidak pernah menjadi umat-Mu.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 63: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk