YESAYA 52:1-15

YESAYA 52:1-15 BM

Bangunlah, hai Yerusalem, bangunlah! Kuatkanlah hatimu! Kenakanlah pakaian kebesaranmu! Hai Yerusalem, kota yang suci, orang najis tidak akan memasuki pintu gerbangmu lagi. Bebaskanlah dirimu, hai Yerusalem! Bangkitlah dan kebaskanlah debu yang melekat padamu. Putuskanlah rantai yang mengikat leher kamu, hai penduduk Sion yang tertawan! TUHAN Raja berfirman kepada umat-Nya, “Ketika kamu menjadi hamba, kamu tidak dibeli dengan wang. Demikian juga ketika kamu dibebaskan, kamu tidak akan ditebus dengan wang. Semasa kamu tinggal di Mesir sebagai orang bangsa asing, kamu pergi ke sana dengan kemahuan kamu sendiri. Lalu Asyur menawan kamu tanpa alasan. Sekarang di Babilonia hal yang sama telah berlaku: kamu ditawan tanpa alasan. Mereka yang menawan kamu sentiasa memegahkan diri dan menghina Aku. Pada masa yang akan datang, kamu akan mengakui bahawa Akulah Allah, dan bahawa Aku telah berfirman kepada kamu.” Betapa baiknya melihat kedatangan utusan, dia datang melintasi pergunungan, dan membawa berita baik, berita kedamaian! Dia mengisytiharkan penyelamatan, dan berkata kepada Sion, “Allahmu memerintah!” Para pengawal kota berteriak-teriak, mereka bersorak bersama-sama kerana sukacita. Dengan mata sendiri mereka melihat TUHAN kembali ke Sion. Bersorak-soraklah, hai runtuhan Yerusalem! TUHAN akan menyelamatkan kota-Nya serta menghiburkan hati umat-Nya. TUHAN akan menggunakan kuasa-Nya yang suci di hadapan semua bangsa. Dia akan menyelamatkan umat-Nya, dan seluruh bumi akan menyaksikannya. Pergilah! Tinggalkanlah Babilonia, hai kamu yang membawa perkakas Rumah TUHAN! Janganlah sentuh apa-apa yang najis, sucikanlah diri kamu dan berangkatlah. Kamu tidak akan pergi tergesa-gesa seperti orang yang melarikan diri. TUHAN akan memimpin kamu, Allah Israel akan melindungi kamu dari setiap penjuru. TUHAN berfirman, “Hamba-Ku akan berjaya dalam tugasnya; dia akan disanjung tinggi. Dahulu banyak orang terperanjat melihat dia, kerana rupanya dicacati sehingga tidak lagi seperti rupa manusia. Tetapi sekarang bangsa-bangsa hairan melihat dia, raja-raja terpegun kerana kagum. Mereka akan melihat dan memahami perkara-perkara yang belum pernah diketahui mereka.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami