YESAYA 49:1-7

YESAYA 49:1-7 BM

Dengarkan aku, hai penduduk pulau-pulau, penduduk negeri-negeri yang jauh! Sebelum aku dilahirkan, TUHAN telah memilih aku, dan melantik aku menjadi hamba-Nya. Dia membuat kata-kataku tajam seperti pedang, Dia melindungi aku dengan tangan-Nya sendiri. Dia menjadikan aku seperti anak panah yang tajam dan siap untuk digunakan. Dia berfirman kepadaku, “Hai Israel, kamu hamba-Ku; kerana kamu, orang akan memuji Aku.” Aku berkata, “Aku telah berusaha, tetapi sia-sia saja! Aku telah menghabiskan tenagaku tetapi tidak mencapai apa-apa.” Namun aku percaya kepada TUHAN untuk membela perkaraku; Allah akan memberi aku ganjaran untuk usahaku. Sebelum aku lahir, TUHAN telah melantik aku; Dia menjadikan aku hamba-Nya untuk membawa kembali umat-Nya, untuk mengumpulkan Israel, umat-Nya. TUHAN memberi aku kehormatan, Allahku adalah sumber kekuatanku. TUHAN berfirman kepadaku, “Tugas yang lebih besar menanti engkau, hai hamba-Ku. Bukan sahaja engkau akan memulihkan kemuliaan umat Israel yang terselamat, tetapi Aku juga akan menjadikan engkau cahaya untuk menerangi bangsa-bangsa supaya seluruh dunia dapat diselamatkan.” Allah Israel, Allah yang suci, Penyelamat Israel berfirman kepada orang yang sangat dihina, yang dibenci oleh bangsa-bangsa, yang menjadi hamba penguasa-penguasa, “Raja-raja akan melihat perbuatan-Ku, lalu berdiri untuk memberikan hormat. Para penguasa juga akan melihat hal itu, lalu sujud untuk memberikan hormat.”