YESAYA 49:1-7

YESAYA 49:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)

Dengarkan aku, hai penduduk pulau-pulau, penduduk negeri-negeri yang jauh! Sebelum aku dilahirkan, TUHAN telah memilih aku, dan melantik aku menjadi hamba-Nya. Dia membuat kata-kataku tajam seperti pedang, Dia melindungi aku dengan tangan-Nya sendiri. Dia menjadikan aku seperti anak panah yang tajam dan siap untuk digunakan. Dia berfirman kepadaku, “Hai Israel, kamu hamba-Ku; kerana kamu, orang akan memuji Aku.” Aku berkata, “Aku telah berusaha, tetapi sia-sia saja! Aku telah menghabiskan tenagaku tetapi tidak mencapai apa-apa.” Namun aku percaya kepada TUHAN untuk membela perkaraku; Allah akan memberi aku ganjaran untuk usahaku. Sebelum aku lahir, TUHAN telah melantik aku; Dia menjadikan aku hamba-Nya untuk membawa kembali umat-Nya, untuk mengumpulkan Israel, umat-Nya. TUHAN memberi aku kehormatan, Allahku adalah sumber kekuatanku. TUHAN berfirman kepadaku, “Tugas yang lebih besar menanti engkau, hai hamba-Ku. Bukan sahaja engkau akan memulihkan kemuliaan umat Israel yang terselamat, tetapi Aku juga akan menjadikan engkau cahaya untuk menerangi bangsa-bangsa supaya seluruh dunia dapat diselamatkan.” Allah Israel, Allah yang suci, Penyelamat Israel berfirman kepada orang yang sangat dihina, yang dibenci oleh bangsa-bangsa, yang menjadi hamba penguasa-penguasa, “Raja-raja akan melihat perbuatan-Ku, lalu berdiri untuk memberikan hormat. Para penguasa juga akan melihat hal itu, lalu sujud untuk memberikan hormat.”

YESAYA 49:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah aku, wahai pulau-pulau! Perhatikanlah, wahai bangsa-bangsa yang jauh! TUHAN telah memanggil aku sejak dalam kandungan. Sejak dalam perut ibuku Dia telah menyebut namaku. Dia menjadikan mulutku seperti pedang yang tajam, di bawah naungan tangan-Nya Dia melindungi aku. Dia menjadikan aku anak panah yang berkilat, di dalam tabung panah-Nya Dia menyembunyikan aku. Firman-Nya kepadaku, “Engkaulah hamba-Ku, wahai Israel, melalui engkau Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku.” Tetapi aku berkata, “Sia-sia sahaja aku berjerih lelah. Aku menghabiskan kekuatanku dengan sia-sia dan tanpa guna. Namun demikian, hakku ada pada TUHAN dan ganjaranku ada pada Allahku.” Sekarang demikianlah firman TUHAN – Dia membentuk aku sejak dalam kandungan untuk menjadi hamba-Nya, untuk membawa Yakub kembali kepada-Nya, dan untuk mengumpulkan Israel kepada-Nya. Aku ini mulia di mata TUHAN dan Allahku adalah kekuatanku — firman-Nya, “Terlalu ringan bagimu cuma untuk menjadi hamba-Ku, untuk membangkitkan suku-suku Yakub kembali, dan untuk mengembalikan orang Israel yang masih terpelihara. Aku akan membuat kamu menjadi cahaya kepada bangsa-bangsa supaya kamu membawa penyelamatan daripada-Ku sampai ke hujung bumi.” Beginilah firman TUHAN, Penebus Israel, Allahnya Yang Maha Suci, kepada dia yang dihina manusia dan dipandang keji oleh bangsa itu, kepada hamba para penguasa, “Raja-raja akan melihat lalu bangkit berdiri, para penguasa akan sujud memberi hormat, kerana TUHAN yang setia, Yang Maha Suci, Allah Israel, telah memilih engkau.”