YESAYA 1:21-31

YESAYA 1:21-31 BM

Kota yang dahulunya setia, sekarang berlaku seperti pelacur! Dahulu kota itu dipenuhi penduduk yang adil dan jujur, tetapi sekarang hanya pembunuh yang tinggal di sana. Hai Yerusalem, dahulu engkau seperti perak, tetapi sekarang engkau tidak berharga lagi. Dahulu engkau seperti wain yang baik, tetapi sekarang engkau seperti air sahaja. Pemimpinmu pemberontak dan sahabat pencuri. Mereka sentiasa menerima hadiah dan rasuah. Mereka tidak membela anak yatim piatu ataupun mendengar aduan para balu. Oleh itu, sekarang dengarlah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Aku akan membalas dendam terhadap kamu, musuh-Ku. Maka kamu tidak akan menyusahkan Aku lagi. Aku akan bertindak melawan kamu. Sebagaimana orang memurnikan logam, demikian juga Aku akan memurnikan kamu. Aku akan membuang segala kekotoran kamu. Aku akan memberi kamu pemimpin dan penasihat seperti dahulu kala. Barulah Yerusalem akan disebut kota yang adil dan setia.” Oleh sebab TUHAN adil, Dia akan menyelamatkan Yerusalem dan setiap orang di situ yang bertaubat. Tetapi Dia akan membinasakan setiap orang yang berdosa serta memberontak terhadap-Nya. Dia akan membunuh setiap orang yang meninggalkan Dia. Kamu akan menyesal kerana menyembah pokok-pokok dan mengkhususkan kebun-kebun untuk dewa-dewa. Kamu akan menjadi seperti pokok besar yang layu daunnya, dan seperti taman yang tidak diairi. Seperti jerami terbakar oleh sepercik bunga api, demikian juga orang berkuasa akan dibinasakan oleh perbuatan jahat mereka sendiri. Tiada sesiapa pun dapat menghentikan kebinasaan mereka.