YESAYA 1:21-31

YESAYA 1:21-31 Alkitab Berita Baik (BM)

Kota yang dahulunya setia, sekarang berlaku seperti pelacur! Dahulu kota itu dipenuhi penduduk yang adil dan jujur, tetapi sekarang hanya pembunuh yang tinggal di sana. Hai Yerusalem, dahulu engkau seperti perak, tetapi sekarang engkau tidak berharga lagi. Dahulu engkau seperti wain yang baik, tetapi sekarang engkau seperti air sahaja. Pemimpinmu pemberontak dan sahabat pencuri. Mereka sentiasa menerima hadiah dan rasuah. Mereka tidak membela anak yatim piatu ataupun mendengar aduan para balu. Oleh itu, sekarang dengarlah TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel berfirman, “Aku akan membalas dendam terhadap kamu, musuh-Ku. Maka kamu tidak akan menyusahkan Aku lagi. Aku akan bertindak melawan kamu. Sebagaimana orang memurnikan logam, demikian juga Aku akan memurnikan kamu. Aku akan membuang segala kekotoran kamu. Aku akan memberi kamu pemimpin dan penasihat seperti dahulu kala. Barulah Yerusalem akan disebut kota yang adil dan setia.” Oleh sebab TUHAN adil, Dia akan menyelamatkan Yerusalem dan setiap orang di situ yang bertaubat. Tetapi Dia akan membinasakan setiap orang yang berdosa serta memberontak terhadap-Nya. Dia akan membunuh setiap orang yang meninggalkan Dia. Kamu akan menyesal kerana menyembah pokok-pokok dan mengkhususkan kebun-kebun untuk dewa-dewa. Kamu akan menjadi seperti pokok besar yang layu daunnya, dan seperti taman yang tidak diairi. Seperti jerami terbakar oleh sepercik bunga api, demikian juga orang berkuasa akan dibinasakan oleh perbuatan jahat mereka sendiri. Tiada sesiapa pun dapat menghentikan kebinasaan mereka.

YESAYA 1:21-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Betapa kota yang dahulu setia telah menjadi sundal! Dahulu penuh keadilan, perbenaran tinggal di dalamnya, tetapi sekarang menjadi tempat pembunuh. Perakmu telah berubah menjadi kotoran perak, anggurmu bercampur air. Para penguasamu ialah pemberontak dan sahabat para pencuri. Semuanya mencintai rasuah dan mengejar-ngejar ganjaran. Mereka tidak membela hak anak-anak yatim, dan perkara balu tidak sampai kepada mereka. Oleh sebab itu demikianlah firman Tuhan, TUHAN alam semesta, Yang Maha Kuasa, Allah Israel, “Ha, Aku akan melampiaskan dendam-Ku kepada seteru-Ku dan melakukan pembalasan terhadap musuh-Ku. Aku akan bertindak melawan engkau. Aku akan membersihkan kotoran perakmu dengan garam abu dan menyingkirkan segala timahmu. Aku akan mengembalikan para hakimmu seperti dahulu dan para penasihatmu seperti semula. Setelah itu, engkau akan disebut kota yang benar, kota yang setia.” Sion akan ditebus dengan keadilan, dan para umatnya yang bertaubat dengan perbenaran. Tetapi kalangan yang mungkar dan yang berdosa akan dihancurkan bersama-sama, dan kalangan yang meninggalkan TUHAN akan musnah. Sesungguhnya, kamu akan malu kerana pokok oak yang kamu inginkan. Kamu akan mendapat cela kerana taman-taman berhala yang kamu pilih. Kerana kamu akan menjadi seperti pokok oak yang layu daunnya, dan seperti taman yang tidak berair. Yang kuat akan menjadi seperti helaian rami, sedangkan hasil kerjanya seperti bunga api. Kedua-duanya akan terbakar bersama-sama, tanpa ada yang dapat memadamkannya.