HOSEA 7

7
1TUHAN berfirman, “Setiap kali Aku hendak menyembuhkan umat-Ku Israel dan memulihkan kemakmuran mereka, Aku hanya melihat kekejaman dan kejahatan yang dilakukan mereka. Mereka saling menipu, memasuki rumah orang untuk mencuri, dan mereka merompak orang di jalan-jalan. 2Tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa Aku akan mengingat segala perbuatan jahat itu. Mereka diliputi dosa sehingga Aku melihatnya dengan jelas.”
Komplot di dalam Istana
3TUHAN berfirman, “Dengan tipu daya dan perbuatan jahat, rakyat cuba menyenangkan hati raja dan pegawai-pegawainya. 4Mereka semua kejam dan tidak setia. Kebencian mereka seperti api di dalam ketuhar, yang tidak dikobarkan oleh si pembuat roti sebelum adunan siap untuk dibakar. 5Pada hari pesta raja, mereka membuat raja serta pegawai-pegawainya minum wain sampai mabuk dan melakukan hal-hal yang bodoh. 6Komplot mereka bagaikan api yang menyala-nyala di dalam ketuhar. Kemarahan mereka membara di dalam hati sepanjang malam, dan menjadi nyala api yang mengganas pada pagi hari.
7Dalam kemarahan, mereka membunuh pemimpin-pemimpin mereka. Raja-raja mereka dibunuh seorang demi seorang, tetapi tiada seorang pun berdoa kepada-Ku untuk minta tolong.”
Israel dan Negeri-Negeri Jiran
8TUHAN berfirman “Orang Israel seperti roti setengah masak. Mereka bergantung kepada bangsa-bangsa di sekeliling mereka. 9Mereka tidak sedar bahawa perbuatan ini telah melemahkan mereka. Akhir riwayat mereka sudah dekat, tetapi mereka tidak mengetahuinya. 10Kesombongan orang Israel kelihatan jelas dan menjadi bukti kesalahan mereka. Meskipun semuanya telah terjadi, mereka tidak kembali kepada-Ku, TUHAN, Allah mereka. 11Orang Israel seperti burung merpati yang bodoh. Mula-mula mereka minta tolong kepada Mesir, kemudian kepada Asyur! 12Tetapi semasa mereka lalu, Aku akan memasang jaring dan menangkap mereka seperti orang menangkap burung. Aku akan menghukum mereka kerana kejahatan yang dilakukan mereka.
13Mereka telah meninggalkan Aku dan memberontak terhadap Aku. Kesusahan akan menimpa mereka. Mereka akan dibinasakan. Aku mahu menyelamatkan mereka, tetapi ibadat mereka kepada-Ku palsu belaka. 14Mereka tidak berdoa kepada-Ku dengan ikhlas. Sebaliknya mereka menghempas diri ke tempat tidur dan meratap seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Aku. Apabila mereka berdoa untuk minta gandum dan wain, mereka melukai diri seperti yang dilakukan oleh orang yang menyembah berhala. Mereka melawan Aku! 15Meskipun Aku yang membesarkan dan menguatkan mereka, namun mereka berkomplot melawan Aku. 16Mereka terus mengikut dewa yang tidak mempunyai apa-apa kuasa. Seperti busur yang bengkok, mereka tidak dapat diharap. Kerana pemimpin-pemimpin mereka bercakap dengan sombong, mereka akan dibunuh oleh pedang, dan orang Mesir akan mentertawakan mereka.”

Terpilih Sekarang Ini:

HOSEA 7: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk