HOSEA 14
14
1Samaria harus dihukum kerana memberontak terhadap Aku. Rakyatnya akan mati dalam peperangan. Bayi akan dihempaskan sehingga hancur, dan perut wanita hamil dibelah.”
Hosea Merayu kepada Israel
2Kembalilah kepada TUHAN, Allah kamu, hai orang Israel. Dosa kamu telah menyebabkan kamu tergelincir dan jatuh. 3Kembalilah kepada TUHAN, dan biarlah doa ini menjadi persembahan kamu kepada-Nya: “Ampunkanlah segala dosa kami, ya TUHAN, dan terimalah doa kami. Lalu kami akan memuji Engkau sebagaimana yang telah kami janjikan. 4Negeri Asyur tidak akan dapat menyelamatkan kami. Kereta kuda pun tidak dapat melindungi kami. Kami tidak akan berkata lagi kepada berhala bahawa berhala-berhala itu Allah kami. Ya TUHAN, Engkau mengasihani orang yang tidak mempunyai sesiapa pun yang dapat diharapkan.”
TUHAN Menjanjikan Kehidupan Baru kepada Israel
5TUHAN berfirman,
“Umat-Ku yang menyeleweng akan Kubawa kembali.
Mereka akan Kukasihi dengan segenap hati,
sebab mereka tidak Kumurkai lagi.
6Bagi orang Israel, Aku seperti hujan
yang membasahi tanah yang gersang.
Mereka akan berkembang seperti bunga,
dan seperti pokok di Lebanon yang dalam akarnya.
7Mereka akan hidup dan bertambah banyak
seperti tanaman yang banyak tunasnya,
dan mereka menjadi indah seperti pokok zaitun.
Mereka akan menjadi harum
seperti pokok sedar di Lebanon.
8Mereka akan kembali kepada-Ku
dan hidup dalam perlindungan-Ku.
Dengan pesat mereka akan bertambah makmur
seperti gandum bertumbuh di ladang yang subur,
dan seperti ladang anggur yang banyak hasilnya.
Mereka akan terkenal seperti wain dari Lebanon.
9Orang Israel akan membuang berhala-berhala;
Aku akan mengabulkan doa mereka dan memelihara mereka.
Seperti pokok malar hijau Aku akan melindungi mereka;
Akulah sumber segala berkat mereka.”
Penutup
10Semoga orang yang bijaksana memahami apa yang tertulis ini serta memperhatikannya. Petunjuk daripada TUHAN adalah benar, dan orang salih hidup kerana menurut petunjuk itu. Tetapi orang berdosa tergelincir dan jatuh, kerana mereka tidak menurut petunjuk itu.
Terpilih Sekarang Ini:
HOSEA 14: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.