KEJADIAN 30:1-24

KEJADIAN 30:1-24 BM

Tetapi Rahel belum juga mendapat anak. Oleh itu dia iri hati terhadap kakaknya, lalu berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, jika tidak, aku akan mati.” Yakub marah kepada Rahel dan berkata, “Aku ini bukan Allah. Dialah yang menyebabkan engkau tidak mendapat anak.” Maka Rahel berkata, “Ini hambaku Bilha; tidurlah dengan dia supaya dia melahirkan anak untuk aku. Dengan demikian aku boleh menjadi ibu melalui dia.” Rahel memberikan Bilha kepada suaminya, lalu Yakub bersetubuh dengan hamba itu. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah mengadili bagi kepentinganku. Dia sudah mendengar doaku dan memberikan seorang anak lelaki kepadaku.” Maka dia menamakan anak itu Dan. Bilha mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan kakakku, dan aku sudah menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali. Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hambanya Zilpa kepada Yakub, untuk menjadi isterinya. Kemudian Zilpa melahirkan seorang anak lelaki. Lea berkata, “Aku beruntung.” Maka dia menamakan anak itu Gad. Zilpa melahirkan seorang anak lelaki lagi, dan Lea berkata, “Alangkah berbahagianya aku! Sekarang semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer. Pada musim menuai gandum, Ruben pergi ke ladang dan menjumpai sejenis tumbuhan ubat di sana. Dia membawa tumbuhan itu kepada Lea, ibunya. Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku sedikit tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu.” Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!” Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.” Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu. Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam. Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon. Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina. Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak. Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku. Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami