KEJADIAN 30:1-24

KEJADIAN 30:1-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Tetapi Rahel belum juga mendapat anak. Oleh itu dia iri hati terhadap kakaknya, lalu berkata kepada Yakub, “Berilah aku anak, jika tidak, aku akan mati.” Yakub marah kepada Rahel dan berkata, “Aku ini bukan Allah. Dialah yang menyebabkan engkau tidak mendapat anak.” Maka Rahel berkata, “Ini hambaku Bilha; tidurlah dengan dia supaya dia melahirkan anak untuk aku. Dengan demikian aku boleh menjadi ibu melalui dia.” Rahel memberikan Bilha kepada suaminya, lalu Yakub bersetubuh dengan hamba itu. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah mengadili bagi kepentinganku. Dia sudah mendengar doaku dan memberikan seorang anak lelaki kepadaku.” Maka dia menamakan anak itu Dan. Bilha mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Aku telah berjuang mati-matian melawan kakakku, dan aku sudah menang.” Maka dia menamakan anak itu Naftali. Apabila Lea sedar bahawa dia tidak mendapat anak lagi, dia memberikan hambanya Zilpa kepada Yakub, untuk menjadi isterinya. Kemudian Zilpa melahirkan seorang anak lelaki. Lea berkata, “Aku beruntung.” Maka dia menamakan anak itu Gad. Zilpa melahirkan seorang anak lelaki lagi, dan Lea berkata, “Alangkah berbahagianya aku! Sekarang semua wanita akan mengatakan aku berbahagia.” Maka dia menamakan anak itu Asyer. Pada musim menuai gandum, Ruben pergi ke ladang dan menjumpai sejenis tumbuhan ubat di sana. Dia membawa tumbuhan itu kepada Lea, ibunya. Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku sedikit tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu.” Lea menjawab, “Belum cukupkah engkau mengambil suamiku? Tumbuhan ubat yang dijumpai anakku pun engkau hendak ambil!” Rahel berkata, “Jika engkau mahu memberi aku tumbuhan ubat yang dijumpai anakmu itu, engkau boleh tidur dengan Yakub pada malam ini.” Apabila Yakub pulang ke rumah dari ladang pada petang itu, Lea menyambutnya sambil berkata, “Engkau mesti tidur bersama-samaku malam ini kerana aku sudah membayarnya dengan tumbuhan ubat yang dijumpai anakku.” Oleh itu Yakub bersetubuh dengan Lea pada malam itu. Allah mengabulkan doa Lea, maka dia mengandung lalu melahirkan anak lelaki yang kelima. Lea berkata, “Allah sudah memberikan pahala kepadaku kerana aku telah menyerahkan Zilpa kepada suamiku.” Maka dia menamakan anak itu Isakhar. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak lelaki yang keenam. Dia berkata, “Allah sudah mengurniakan hadiah yang indah sekali kepadaku. Sekarang suamiku akan menghargai aku kerana aku sudah melahirkan enam orang anak lelaki.” Maka dia menamakan anak itu Zebulon. Selepas itu Lea melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakannya Dina. Kemudian Allah ingat akan Rahel; Allah mengabulkan doanya dan membolehkan dia melahirkan anak. Rahel mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Rahel berkata, “Allah sudah menghapuskan keaibanku. Semoga TUHAN memberikan seorang anak lelaki lagi kepadaku.” Maka dia menamakan anaknya itu Yusuf.

KEJADIAN 30:1-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apabila Rahel melihat betapa dia tetap tidak melahirkan anak untuk Yakub, dia pun mencemburui kakaknya. Maka berkatalah dia kepada Yakub, “Berilah aku anak. Kalau tidak, biarlah aku mati.” Naik marahlah Yakub kepada Rahel, katanya, “Adakah aku di tempat Allah, yang menghalang kamu daripada mengandung?” Kata Rahel, “Ini Bilha, hambaku. Kahwinilah dia, supaya anak yang dilahirkannya diletakkan di pangkuanku, sehingga aku juga dapat mempunyai anak melalui dia.” Maka diserahkannyalah Bilha, hambanya, kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Yakub pun meniduri hamba itu. Bilha mengandung lalu melahirkan seorang anak untuk Yakub. Berkatalah Rahel, “Allah bertindak adil terhadapku dan memakbulkan doaku dan mengurniakan kepadaku seorang anak.” Oleh sebab itulah dia menamai anak itu Dan. Kemudian Bilha, hamba Rahel itu, mengandung lagi dan melahirkan anak yang kedua untuk Yakub. Rahel berkata, “Aku bergelut begitu hebat dengan kakakku, dan aku menang.” Maka dia menamai anak itu Naftali. Apabila Lea melihat bahawa dia telah berhenti melahirkan anak, dia pun membawa Zilpa, hambanya, lalu diserahkannya kepada Yakub untuk menjadi isterinya. Lalu Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan seorang anak untuk Yakub. Kata Lea, “Sungguh beruntung!” Maka dinamainya anak itu Gad. Zilpa, hamba Lea itu, melahirkan anak yang kedua pula untuk Yakub. Lea berkata, “Betapa bahagianya aku! Tentunya segala kaum wanita akan menyebut bahawa aku berbahagia.” Maka dia menamai anak itu Asyer. Sewaktu Ruben pergi berjalan-jalan pada musim menuai gandum dia terjumpa akar mandragora di padang lalu dibawanya kepada Lea, ibunya. Kata Rahel kepada Lea, “Berilah aku sedikit akar mandragora milik anakmu itu.” Jawab Lea kepadanya, “Belum cukup lagikah kamu mengambil suamiku, sehingga kamu mahu mengambil pula akar mandragora anakku?” Kata Rahel, “Baiklah, biarlah dia tidur denganmu malam ini sebagai ganti akar mandragora anakmu itu.” Petang harinya, ketika Yakub kembali dari ladang, keluarlah Lea menyambutnya dan berkata, “Kamu harus singgah kepadaku, kerana aku sudah menyewamu dengan akar mandragora anakku.” Maka Yakub menidurinya pada malam itu. Allah memakbulkan doa Lea lalu ia mengandung dan melahirkan anak yang kelima untuk Yakub. Kata Lea, “Allah telah memberiku upah, kerana aku sudah menyerahkan hambaku kepada suamiku.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Isakhar. Lea mengandung lagi dan melahirkan anak yang keenam untuk Yakub. Kemudian kata Lea, “Allah mengurniakan satu anugerah yang bagus kepadaku. Tentunya suamiku akan tinggal bersama-samaku kerana aku telah melahirkan enam orang anak untuknya.” Oleh sebab itu dia menamai anak itu Zebulon. Setelah itu, dia melahirkan seorang anak perempuan yang dinamainya Dina. Allah mengendahkan Rahel pula dan mendengar dan memakbulkan doanya lalu membuka rahimnya. Maka Rahel pun mengandung dan melahirkan seorang anak. Katanya, “Allah sudah menghapuskan aibku.” Dia menamai anak itu Yusuf, sambil berkata, “Semoga TUHAN menganugerahiku seorang lagi anak.”