KEJADIAN 13

13
Abram dan Lot Berpisah
1Abram meninggalkan Mesir lalu pergi ke arah utara, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan bersama dengan isterinya serta segala miliknya; Lot juga mengikut Abram. 2Abram kaya raya; dia mempunyai domba, kambing, lembu, dan juga emas serta perak. 3Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi dari satu tempat ke tempat yang lain, menuju ke Betel. Dia tiba di daerah di antara Betel dan Ai, tempat dia berkhemah 4dan mendirikan mazbah dahulu. Dia menyembah TUHAN di situ.
5Lot, yang mengikut Abram, juga mempunyai keluarga sendiri dan hamba, domba, kambing, serta lembu. 6Padang rumput di situ tidak cukup bagi mereka tinggal bersama-sama, kerana mereka mempunyai ternakan yang sangat banyak. 7Oleh sebab itu pertengkaran berlaku antara para gembala Abram dan para gembala Lot. (Pada masa itu orang Kanaan dan orang Feris masih tinggal di tanah itu.)
8Kemudian Abram berkata kepada Lot, “Kita ini bersaudara; orangmu dan orangku tidak sepatutnya bertengkar. 9Oleh itu sebaiknya kita berpisah. Pilihlah bahagian tanah yang kamu suka. Jika kamu pergi ke sebelah sini, aku akan pergi ke sebelah sana.”
10 Lot memandang di sekelilingnya dan nampak bahawa seluruh Lembah Yordan, sampai ke kota Zoar mempunyai banyak air, seperti Taman TUHAN atau seperti tanah Mesir. (Begitulah keadaannya sebelum TUHAN memusnahkan kota Sodom dan Gomora.) 11Akhirnya Lot memilih seluruh Lembah Yordan, lalu berangkat ke sebelah timur. Demikianlah kedua-dua orang itu berpisah. 12Abram tetap tinggal di tanah Kanaan, sedangkan Lot tinggal di antara kota-kota di lembah itu dan berkhemah dekat Sodom. 13Penduduk kota Sodom sangat jahat dan berdosa terhadap TUHAN.
Abram Berpindah ke Hebron
14Selepas Lot meninggalkan tempat itu, TUHAN berfirman kepada Abram, “Dari tempat engkau berdiri, pandanglah baik-baik ke segala arah; 15 Aku akan memberikan seluruh tanah yang engkau lihat itu kepadamu dan keturunanmu. Tanah itu akan menjadi milikmu selama-lamanya. 16Aku akan memberi engkau keturunan yang sangat banyak, sehingga tiada sesiapa pun dapat menghitung mereka. Sebagaimana debu di tanah tidak dapat dihitung, demikian juga keturunanmu tidak akan dapat dihitung. 17Sekarang, jelajahilah seluruh tanah ini, kerana Aku akan memberikan tanah ini kepadamu.” 18Selepas itu Abram memindahkan perkhemahannya, lalu menetap berhampiran dengan pokok-pokok keramat di Mamre, dekat Hebron. Di situ dia membina sebuah mazbah untuk TUHAN.

Terpilih Sekarang Ini:

KEJADIAN 13: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk