GALATIA 1:13-24

GALATIA 1:13-24 BM

Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. Mereka hanya mendengar orang berkata, “Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.” Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.