GALATIA 1:13-24

GALATIA 1:13-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. Mereka hanya mendengar orang berkata, “Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.” Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.

GALATIA 1:13-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna kamu tŭlah mŭnŭngar akan prihal klakuanku yang dahulu kala tŭtkala dalam agama Yahudi, bŭtapa lampaulah sudah aku mŭnganyayai sidang jŭmaah Allah, dan mŭmbinasakan dia. Adapun aku tŭlah bŭruntonglah dalam agama Yahudi itu tŭrlebih deripada sagala orang yang sŭbaya dŭngan aku dalam bangsaku, ulih sŭbab tŭrlampau rajin hatiku derihal hadis hadis nenek moyangku. Tŭtapi apabila dipŭrkŭnankan Allah, yang tŭlah mŭmileh aku deripada rahim ibuku, sŭrta mŭngajak aku dŭngan anugrahnya, Akan mŭnyatakan Anaknya kapadaku, supaya aku mŭngajarkan deri halnya diantara orang sŭsat; maka dŭngan sŭgranya tiadalah aku bŭrmufakat dŭngan manusia. Dan tiada pula aku bŭrbalik kaJerusalem kapada marika itu yang tŭlah mŭnjadi rasul rasul tŭrdahulu deripada aku, mŭlainkan pŭrgilah aku katanah Arab, dan kŭmbalilah pula kanŭgri Damsek. Sŭtlah kumdian deripada tiga tahun lamanya, pulanglah aku kanŭgri Jerusalem sŭbab handak bŭrtŭmu dŭngan Petros, maka aku pun tinggallah bŭrsama sama dŭngan dia limablas hari lamanya. Akan tŭtapi sa’orang rasul rasul yang lain pun tiadalah aku bŭrtŭmu, hanyalah Yakob saudara Tuhan. Adapun pŭrkara pŭrkara yang aku suratkan kapada kamu ini, bahwa sŭsungguhnya dihadapan Allah, bukannya aku bohong. Hata sŭtlah itu, maka datanglah aku kapada jajahan nŭgri Syria dan Silicia. Maka tiadalah dikŭnal ulih sagala sidang jŭmaah akan mukaku ditanah Yahuda, yang dalam agama Almasih itu. Mŭlainkan marika itu mŭnŭngar khabar sahja, adapun orang yang mŭngannyayakan kami dahulu, maka skarang pula iya mŭmashorkan iman itu yang dahulu kala tŭlah dirosakannya. Maka marika itu skalian pun tŭlah mŭmuliakan Allah ulih sŭbab aku.