EZRA 3

3
Ibadat Dimulai Lagi
1Pada bulan ketujuh, umat Israel telah menetap di kota masing-masing. Kemudian mereka semua berkumpul di Yerusalem. 2 Oleh itu Yesua anak Yozadak dan beberapa orang imam yang lain, Zerubabel anak Sealtiel dan sanak saudaranya, membina semula mazbah Allah Israel. Dengan demikian mereka dapat membakar korban di atas mazbah itu menurut petunjuk yang tertulis dalam kitab Taurat Musa, hamba Allah. 3 Meskipun mereka takut terhadap penduduk negeri itu, namun mereka membina semula mazbah itu di tempat asalnya. Setelah itu mereka mulai mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, pada waktu pagi dan petang. 4 Mereka juga merayakan Perayaan Pondok Daun menurut peraturan yang ditetapkan; tiap-tiap hari mereka mempersembahkan korban yang ditetapkan untuk hari itu. 5 Selain itu, dengan teratur mereka mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN serta korban yang dipersembahkan pada Perayaan Bulan Baru, dan pada semua perayaan lain yang diadakan untuk menyembah TUHAN. Mereka juga mempersembahkan persembahan sukarela kepada TUHAN. 6Walaupun rakyat belum memulakan pembinaan semula Rumah TUHAN, mereka telah mulai membakar korban untuk TUHAN pada hari pertama bulan ketujuh.
Pembinaan Rumah TUHAN Dimulakan
7Rakyat menyumbangkan wang untuk membayar upah tukang batu dan tukang kayu. Mereka juga menghantar makanan, minuman, dan minyak zaitun ke kota Tirus dan Sidon untuk ditukarkan dengan kayu sedar dari Lebanon. Kayu itu dibawa ke Yafo melalui laut. Semua pekerjaan itu dilakukan dengan kebenaran daripada Raja Kores, raja Persia. 8Pada bulan kedua, dalam tahun kedua selepas orang Israel kembali ke Yerusalem, mereka mulai membina semula Rumah TUHAN. Zerubabel, Yesua dan orang sebangsa mereka, para imam dan orang Lewi, pendek kata, semua orang bekas buangan, ikut bekerja. Semua orang Lewi yang berusia 20 tahun ke atas ditugaskan untuk mengawasi pembinaan Rumah TUHAN. 9Yesua, orang Lewi itu, bersama dengan anak-anak serta sanak saudaranya, dan juga Kadmiel serta anak-anaknya (puak Hodawya) turut mengawasi pekerjaan pembinaan Rumah TUHAN. Mereka dibantu oleh orang Lewi daripada puak Henadad.
10 Apabila pekerja-pekerja pembinaan mula meletakkan asas Rumah TUHAN, para imam yang berpakaian jubah dan membawa trompet mengambil tempat masing-masing. Orang Lewi daripada puak Asaf juga berdiri di sana sambil membawa ceracap. Mereka memuji-muji TUHAN menurut peraturan yang ditetapkan sejak zaman Raja Daud. 11 Mereka menyanyikan puji-pujian bagi TUHAN, dan mengulang-ulangi bahagian nyanyian yang terakhir, yang berbunyi demikian:
“TUHAN itu baik, dan kasih-Nya kepada Israel kekal abadi.”
Rakyat ikut bersorak dan memuji TUHAN kerana asas Rumah TUHAN telah diletakkan. 12Banyak antara imam, orang Lewi dan ketua puak yang telah lanjut usia pernah melihat Rumah TUHAN yang dahulu. Apabila mereka melihat asas Rumah TUHAN yang ini diletakkan, mereka menangis dengan kuat. Tetapi orang lain yang hadir di sana bersorak-sorak kerana sukacita. 13Oleh sebab itu suara sorakan sukacita tidak dapat dibezakan daripada suara tangisan; keriuhannya terdengar sampai jauh.

Terpilih Sekarang Ini:

EZRA 3: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk