YEHEZKIEL 40
40
PENGLIHATAN TENTANG RUMAH TUHAN PADA MASA DEPAN
(40.1—48.35)
Yehezkiel Dibawa ke Yerusalem
1Pada hari kesepuluh, bulan pertama dalam tahun kedua puluh lima masa kami dalam buangan, dan tahun keempat belas selepas Yerusalem ditakluki, aku merasakan kuasa TUHAN, lalu Dia membawa aku pergi. 2Dalam satu penglihatan, Allah membawa aku ke negeri Israel dan menempatkan aku di atas sebuah gunung yang tinggi. Di hadapanku, kelihatan bangunan-bangunan yang menyerupai sebuah kota. 3Dia membawa aku ke situ lalu aku nampak seorang lelaki yang bersinar seperti gangsa, berdiri di pintu gerbang. Orang itu sedang memegang tali pengukur daripada linen dan juga sebatang kayu pengukur.
4Lelaki itu berkata kepadaku, “Hai manusia fana, dengarlah baik-baik dan perhatikanlah segala sesuatu yang aku tunjukkan kepadamu, kerana untuk maksud itulah engkau telah dibawa ke sini. Hendaklah engkau memberitahu umat Israel segala yang engkau lihat.”
Pintu Gerbang Timur
5Aku nampak Rumah TUHAN yang dikelilingi tembok. Lelaki itu menggunakan kayu pengukur yang panjangnya 3 meter, lalu mengukur tembok itu. Tinggi tembok itu 3 meter, dan tebalnya pun 3 meter. 6Selepas itu dia pergi ke pintu gerbang yang menghadap ke timur. Dia menaiki tangga pintu gerbang, dan di atas tangga itu dia mengukur ambang pintu; lebarnya 3 meter. 7Di belakang pintu gerbang itu ada sebuah lorong dan tiga buah bilik pengawal pada tiap-tiap sisinya. Tiap-tiap bilik berbentuk empat persegi, setiap sisi berukuran 3 meter, dan tembok pemisah bilik setebal 2.5 meter. Selepas bilik-bilik pengawal itu, lorong memanjang 3 meter lagi dan menuju ke ruangan depan yang menghadap Rumah TUHAN. 8-9Lelaki itu mengukur ruangan tersebut dan ternyata lebarnya 4 meter. Itulah bahagian pintu gerbang yang terdekat dengan Rumah TUHAN, dan tembok di bahagian itu setebal 1 meter. 10Ukuran bilik-bilik pengawal di sisi lorong itu semuanya sama, dan tebal tembok bilik pun sama.
11Kemudian lelaki itu mengukur lorong di pintu gerbang. Lebar lorong itu 6.5 meter, dan lebar pintu gerbang itu 5 meter. 12Di hadapan tiap-tiap bilik pengawal itu ada tembok yang rendah; tingginya 0.5 meter, dan tebalnya 0.5 meter juga. Semua bilik itu 3 meter persegi. 13Lalu lelaki itu mengukur jarak dari tembok belakang sebuah bilik sampai ke tembok belakang bilik yang di seberangnya; jaraknya 12.5 meter. 14Ruangan depan di hujung sekali menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Dia mengukur ruangan depan itu; lebarnya 10 meter. 15Jarak dari tembok pintu gerbang di sebelah luar sampai ke tembok ruangan depan di bahagian yang menghadap ke Rumah TUHAN ialah 25 meter. 16Pada tembok sebelah luar dan tembok pemisah semua bilik itu terdapat tingkap-tingkap yang kecil. Pada tembok sebelah dalam yang menghadap ke lorong itu terdapat ukiran pokok palma.
Halaman Luar Rumah TUHAN
17Lelaki itu membawa aku melalui pintu gerbang ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada sisi tembok luar di sekeliling Rumah TUHAN itu dibina tiga puluh buah bilik. Di hadapan bilik-bilik itu terdapat kawasan berturap batu, 18yang mengelilingi halaman itu. Halaman luar ini letaknya lebih rendah daripada halaman dalam.
19Di situ ada sebuah pintu gerbang yang letaknya lebih tinggi dan yang menghadap ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.
Pintu Gerbang Utara
20Kemudian lelaki itu mengukur pintu gerbang di sebelah utara yang menghadap ke halaman luar. 21Tiga buah bilik pengawal yang terletak di sisi lorong pintu gerbang itu, tembok pemisah bilik, dan ruangan depan itu, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang timur. Seluruh lorong pintu gerbang itu panjangnya 25 meter dan lebarnya 12.5 meter. 22Ruangan depan, tingkap-tingkap, dan ukiran pokok palma sama dengan yang terdapat pada pintu gerbang timur. Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang utara itu dan di hujungnya terdapat ruangan depan yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. 23Berhadapan dengan pintu gerbang utara, ada sebuah pintu gerbang lain yang menuju ke halaman dalam, seperti yang terdapat di sebelah timur. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.
Pintu Gerbang Selatan
24Selanjutnya, lelaki itu membawa aku ke sebelah selatan. Di situ kami nampak sebuah pintu gerbang lagi. Dia mengukur tembok dan ruangan depan di situ, semuanya sama ukuran dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. 25Bilik-bilik di situ mempunyai tingkap-tingkap yang sama dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. 26Tujuh anak tangga menuju ke pintu gerbang selatan itu dan terdapat juga ruangan depan di hujungnya yang menghadap ke halaman luar Rumah TUHAN. Pada tembok di bahagian dalam yang menghadap lorong itu terdapat ukiran pokok palma. 27Di situ juga terdapat sebuah pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam. Lelaki itu mengukur jarak di antara dua buah pintu gerbang itu; jaraknya 50 meter.
Pintu Gerbang Selatan yang Menghadap Halaman Dalam
28Selepas itu, lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang selatan. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang di sebelah luar. 29-30Bilik-bilik pengawal, ruangan depan, dan tembok-tembok sebelah dalam, sama ukurannya dengan yang terdapat di pintu gerbang lain. Bilik-bilik di pintu gerbang ini juga mempunyai tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. 31Ruangan depannya menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok-tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.
Pintu Gerbang Timur di Halaman Dalam
32Kemudian lelaki itu membawa aku masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang timur. Dia mengukur pintu gerbang itu, dan ukurannya sama dengan ukuran pintu-pintu gerbang lain. 33Bilik-bilik pengawal, ruangan depan dan tembok-tembok dalam, sama ukurannya dengan yang ada di pintu gerbang lain. Di bilik-bilik pengawal dan ruangan depan itu terdapat tingkap-tingkap. Panjangnya lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. 34Ruangan depannya menghadap ke halaman luar. Ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.
Pintu Gerbang Utara di Halaman Dalam
35Akhirnya lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang utara. Dia mengukur pintu gerbang itu dan ukurannya sama dengan pintu-pintu gerbang lain. 36Seperti yang lain-lain, pintu gerbang ini juga mempunyai bilik-bilik pengawal, tembok-tembok sebelah dalam, ruangan depan, dan tingkap-tingkap. Panjang lorong pintu gerbang itu 25 meter, dan lebarnya 12.5 meter. 37Ruangan depan di situ menghadap ke halaman luar, dan ukiran pokok palma terdapat pada tembok yang menghadap ke lorong. Lapan anak tangga menuju ke pintu gerbang itu.
Bangunan yang Berdekatan dengan Pintu Gerbang Utara
38Di halaman luar terdapat sebuah bilik tambahan di bahagian dalam pintu gerbang utara. Bilik tambahan itu ada sebuah pintu yang menuju ke ruangan depan yang menghadap halaman luar. Di situlah orang mencuci binatang yang telah disembelih sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 39Di ruangan depan itu ada empat buah meja, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri. Di atas meja-meja itu orang menyembelih binatang yang akan dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN, atau korban untuk mengampunkan dosa, atau korban untuk membayar ganti rugi. 40Di luar ruangan depan itu ada lagi empat buah meja yang sama, dua di sebelah kanan dan dua di sebelah kiri pintu gerbang utara. 41Semuanya ada lapan buah meja yang digunakan untuk menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban: empat di dalam bilik dan empat lagi di halaman luar. 42Empat buah meja di dalam bilik itu, yang digunakan bagi menyediakan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dibuat daripada batu yang dipahat. Tingginya 50 sentimeter, dan bahagian atasnya 75 sentimeter persegi. Semua alat yang digunakan untuk menyembelih korban diletakkan di atas meja-meja itu. 43Tepi meja-meja itu mempunyai pinggiran selebar 75 milimeter. Semua daging yang akan dipersembahkan diletak di atas meja-meja itu.
44Kemudian lelaki itu membawa aku ke halaman dalam. Di situ ada dua buah bilik, sebuah di sisi pintu gerbang utara dan menghadap ke selatan, dan sebuah lagi di sisi pintu gerbang selatan dan menghadap ke utara. 45Dia memberitahu aku bahawa bilik yang menghadap ke selatan disediakan bagi para imam yang bertugas di Rumah TUHAN, 46dan bilik yang menghadap ke utara disediakan bagi para imam yang bertugas di mazbah. Semua imam itu keturunan Zadok. Mereka daripada suku Lewi dan hanya mereka yang dibenarkan menghadap TUHAN untuk melayani Dia.
Halaman Dalam dan Rumah TUHAN
47Lelaki itu mengukur halaman dalam dan ukurannya 50 meter persegi. Rumah TUHAN terletak di sebelah barat, dan di depannya ada sebuah mazbah. 48Lalu dia membawa aku ke ruangan depan Rumah TUHAN. Dia mengukur pintu masuk; luasnya 2.5 meter dan lebarnya 7 meter. Tembok di kiri dan kanannya setebal 1.5 meter. 49Ruangan depan itu panjangnya 10 meter dan lebarnya 6 meter. Orang dapat masuk ke situ dengan mendaki beberapa anak tangga. Di pintu masuk ada dua batang tiang, sebatang di sebelah kanan dan sebatang di sebelah kiri.
Terpilih Sekarang Ini:
YEHEZKIEL 40: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.