KELUARAN 33

33
TUHAN Memerintah Orang Israel Meninggalkan Gunung Sinai
1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Tinggalkanlah tempat ini bersama dengan umat yang engkau bawa keluar dari Mesir, dan pergilah ke tanah yang telah Aku janjikan kepada Abraham, Ishak, Yakub, dan keturunan mereka. 2Aku akan menghantar satu malaikat untuk memimpin kamu. Aku akan mengusir orang Kanaan, Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi. 3Kamu akan pergi ke tanah yang kaya dan subur. Tetapi Aku sendiri tidak akan pergi bersama-sama kamu, supaya kamu tidak Aku binasakan di tengah perjalanan, kerana kamu umat yang degil.”
4Selepas umat mendengar firman itu, mereka mula berkabung dan tidak lagi memakai barang kemas, 5kerana TUHAN telah menyuruh Musa menyampaikan firman-Nya kepada umat Israel, “Kamu umat yang degil. Jika Aku ikut bersama-sama kamu walau seketika pun, tentu kamu akan Kubinasakan sama sekali. Sekarang, tanggalkanlah barang kemas kamu; kemudian Aku akan menentukan apa yang Aku lakukan kepada kamu.” 6Oleh sebab itu, selepas orang Israel meninggalkan Gunung Sinai, mereka tidak lagi memakai barang kemas.
Khemah TUHAN
7Bila-bila sahaja orang Israel berkhemah, Musa akan mengambil Khemah lalu memasangnya di luar kawasan perkhemahan mereka, tidak berapa jauh dari perkhemahan itu. Khemah itu dinamakan Khemah TUHAN. Sesiapa yang minta nasihat TUHAN akan pergi ke Khemah itu. 8Setiap kali Musa pergi ke Khemah itu, segenap umat akan berdiri di pintu khemah mereka dan memperhatikan Musa sehingga dia masuk ke dalam Khemah TUHAN. 9Setelah Musa masuk, tiang awan turun dan berhenti di pintu Khemah itu, lalu TUHAN berfirman kepada Musa dari awan itu. 10Sebaik sahaja umat melihat tiang awan di pintu Khemah TUHAN, mereka bersujud. 11TUHAN berfirman kepada Musa dengan bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya. Kemudian Musa kembali ke perkhemahan, tetapi Yosua anak Nun, pemuda yang menjadi pembantu Musa, tinggal di dalam Khemah TUHAN.
TUHAN Berjanji akan Menyertai Umat-Nya
12Musa berkata kepada TUHAN, “Memang benar Engkau telah menyuruh aku memimpin umat ini ke tanah yang telah Engkau janjikan, tetapi Engkau tidak memberitahu aku siapa yang Engkau utus untuk menyertai aku. Engkau berfirman bahawa Engkau mengenal aku dengan baik serta berkenan kepadaku. 13Jika hal ini benar, nyatakanlah rancangan-Mu supaya aku dapat mengabdikan diri kepada-Mu dan tetap menyenangkan hati-Mu. Ingatlah juga bahawa Engkau telah memilih umat ini menjadi milik-Mu sendiri.”
14TUHAN berfirman, “Aku akan ikut engkau, dan Aku akan memberikan ketenangan fikiran kepadamu.”
15Musa menjawab, “Jika Engkau tidak ikut kami, jangan suruh kami meninggalkan tempat ini. 16Bagaimanakah orang lain tahu bahawa Engkau berkenan kepada umat-Mu dan aku, jika Engkau tidak ikut kami? Hadirat-Mu di tengah-tengah kami akan membezakan kami daripada bangsa lain di bumi.”
17TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan melakukan seperti yang engkau minta, kerana Aku mengenal engkau dengan baik dan Aku berkenan kepadamu.”
18Kemudian Musa memohon, “Benarkanlah aku melihat cahaya hadirat-Mu.”
19 TUHAN menjawab, “Aku akan lalu dengan segala keagungan-Ku di hadapanmu, sambil mengucapkan nama-Ku yang suci, iaitu TUHAN. Aku akan menunjukkan rahmat dan belas kasihan kepada orang yang Aku pilih. 20Engkau tidak boleh melihat wajah-Ku, kerana tiada manusia yang tetap hidup setelah melihat wajah-Ku. 21Berdirilah di atas bukit batu yang terletak di sebelah-Ku. 22Apabila cahaya hadirat-Ku lalu, Aku akan memasukkan engkau ke dalam celah bukit batu dan menghalangi penglihatanmu dengan tangan-Ku sehingga Aku telah lalu. 23Kemudian Aku akan mengangkat tangan-Ku dan engkau akan nampak belakang-Ku, tetapi tidak nampak wajah-Ku.”

Terpilih Sekarang Ini:

KELUARAN 33: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk