ESTER 7
7
1Kemudian raja dan Haman pergi makan bersama dengan Ester 2untuk kali kedua. Sambil mereka minum wain, raja bertanya lagi, “Hai Permaisuri Ester, apakah keinginan adinda? Katakanlah, dan beta akan memberikannya kepada adinda, walaupun setengah daripada kerajaan beta.”
3Permaisuri Ester menjawab, “Jika tuanku berkenan mengabulkan keinginan hamba, hamba mohon supaya hamba dan bangsa hamba boleh hidup, 4kerana hamba dan bangsa hamba sudah dijual untuk dibunuh. Jika hamba dan bangsa hamba hanya dijual untuk dijadikan abdi, hamba akan berdiam diri dan tidak mahu mengganggu tuanku. Tetapi kami akan dibinasakan dan dihapuskan dari muka bumi ini!”
5Raja Ahasyweros bertanya kepada Permaisuri Ester, “Siapakah yang berani melakukan perkara itu? Di manakah orang itu?”
6Ester menjawab, “Musuh dan penganiaya kami ialah Haman, orang yang jahat ini!”
Haman memandang raja dan permaisuri dengan sangat ketakutan. 7Raja sangat murka, lalu berdiri dan meninggalkan meja; raja terus ke luar, ke taman istana. Haman sedar bahawa raja sudah bertekad untuk menghukum dia kerana perbuatannya. Oleh itu, Haman tetap tinggal di situ bersama dengan Permaisuri Ester untuk memohon supaya diselamatkan. 8Dengan putus asa Haman merebahkan diri ke atas tempat duduk Ester untuk memohon belas kasihan. Tetapi tepat pada saat itu juga raja kembali dari taman istana. Apabila raja melihat Haman begitu, raja bertitah, “Apa? Orang ini masih juga berani memperkosa permaisuri di sini, di hadapan beta dan di dalam istana beta sendiri!”
Sebaik sahaja raja berkata demikian, beberapa orang sida-sida menyelubungi kepala Haman. 9Seorang antara mereka yang bernama Harbona berkata, “Haman sudah membina tiang penggantungan dekat rumahnya untuk menggantung Mordekhai yang sudah menyelamatkan tuanku. Tiang itu setinggi 22 meter.”
Raja bertitah, “Gantunglah Haman pada tiang itu!”
10Demikianlah Haman digantung pada tiang penggantungan yang dibinanya untuk Mordekhai. Selepas itu barulah kemurkaan raja reda.
Terpilih Sekarang Ini:
ESTER 7: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.