Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan. Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang.
Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. Di dalam Alkitab tertulis,
“Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi,
Dia membawa banyak tawanan;
Dia memberikan kurnia kepada manusia.”
Inilah yang dimaksudkan dengan “Dia naik”: Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini. Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya. Dialah yang “memberikan kurnia kepada manusia”. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan. Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah. Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih.