EFESUS 4:1-16
EFESUS 4:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Itulah sebabnya aku - orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan - menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan. Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang. Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. Di dalam Alkitab tertulis, “Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.” Inilah yang dimaksudkan dengan “Dia naik”: Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini. Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya. Dialah yang “memberikan kurnia kepada manusia”. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan. Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah. Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih.
EFESUS 4:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA sŭbab itu aku, sa’orang yang tŭrblunggu kŭrna Tuhan, mŭmohonkan kapada kamu, supaya kamu mŭlakukan dŭngan spatutnya dalam jawatan yang kamu dijŭmpot itu. Dŭngan amat rŭndah hati, dan lŭmah lŭmbut, sŭrta dŭngan panjang hati, mŭnahani sa’orang akan sa’orang dalam kasih. Maka dŭngan sŭbulih bulihnya mŭmliharakan pŭrhubongan Roh itu dŭngan tambatan damie. Maka adalah suatu tuboh, dan suatu Roh juga, spŭrti yang kamu sudah dijŭmpot kapada suatu pŭngharapan deripada jŭmpotan kamu itu. Suatu juga Tuhan, dan suatu juga iman, dan suatu juga pŭmbaptisan adanya. Maka suatu juga Allah, iya itu Ayah bagie sagala manusia, yang diatas sagala sŭsuatu, dan bagie sagala sŭsuatu, dan dalam kamu skalian. Maka pada masing masing kami inilah dikurniakannya nikmat mŭnurot ukoran pŭmbrian Almasih. Maka sŭbab itulah fŭrman Tuhan, Apabila iya tŭlah naik ka’atas, maka iya tŭlah mŭnawani akan tawanan, sŭrta mŭngurniakan bŭbrapa anugrah pada manusia. Adapun derihal iya naik ka’atas itu, apakah itu? mŭlainkan tŭrdahulu iya sudah turon kapada tŭmpat tŭmpat kabawah bumi ini. Adapun orang yang sudah turon itu, maka iyalah yang tŭlah naik ka’atas juga, iya itu ka’atas skali sagala langit, supaya kŭlak dipŭnohinya sagala sŭsuatu. Maka iyalah yang tŭlah mŭngangkatkan sŭparoh rasul rasul, dan sŭparoh nabi nabi, dan sŭparoh orang orang yang mŭngajar Injil, dan sŭparoh gombala gombala orang, dan guru guru. Supaya mŭnjadikan kasampornaan orang orang salih, dan supaya mŭnjadikan pŭkŭrjaan jawatan agama, dan supaya mŭnjadikan bŭrfiedan kapada tuboh Almasih. Sahingga kami skalian mŭnjadi pŭrsukutuan iman, dan pŭngŭnalan akan Anak Allah, sampie mŭnjadi sa’orang balir, iya itu kapada ukoran umor sŭlangkap Almasih. Supaya janganlah kŭlak kami lagi jadi spŭrti kanak kanak yang puntang panting, dan yang dibawanya kasana kamari ulih jŭnis jŭnis agin pŭngajaran, dŭngan silap manusia, dan daya upaya yang chŭrdik dihŭndapkannya handak mŭnipu; Mŭlainkan bŭrkata kata bŭnar dŭngan kasih, supaya kŭlak bŭrtambah tambahlah kami dalam sagala sŭsuatu itu, mŭnurot dia yang mŭnjadi kŭpala, iya itulah Almasih. Maka deripadanyalah sŭgŭnap tuboh itu tŭrhubong bŭrsama sama dŭngan rapatnya, sŭrta tŭrlangkaplah dŭngan pŭrkara yang ditulong ulih tiap tiap sambongan, mŭnurot kwasa yang bŭrlaku dalam ukoran bahgian masing masing, iya itu mŭnjadi tambahan tuboh itu, akan mŭmbaiki dirinya itu dalam kasih.
EFESUS 4:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu. Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak ansur satu sama lain dalam kasih, dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera. Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh — sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu — satu Tuhan, satu iman, satu baptisan; satu Allah, iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian. Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian Kristus. Oleh itu, firman-Nya: “Apabila Dia naik ke tempat tinggi, Dia menawan tawanan, dan memberi pemberian kepada manusia.” (Apakah maksud “Dia naik ke atas”? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi. Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.) Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar, untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh Kristus. Dengan itu, kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Anak Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan Kristus. Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat. Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu Kristus. Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.