ULANGAN 12

12
Satu-satunya Tempat Ibadat
1“Sekarang dengarlah segala hukum yang mesti dipatuhi selama kamu tinggal di tanah yang diberikan oleh TUHAN, Allah nenek moyang kamu. 2Di tanah yang akan kamu duduki itu, musnahkanlah segala tempat penyembahan dewa di atas gunung yang tinggi, di atas bukit, dan di bawah pokok hijau, tempat bangsa yang tinggal di situ menyembah tuhan-tuhan mereka. 3 Robohkan mazbah mereka dan hancurkan tiang-tiang batu keramat. Bakarlah lambang-lambang Dewi Asyera dan hancurkanlah patung-patung berhala mereka, supaya semuanya tidak lagi disembah di tempat-tempat itu.
4Apabila kamu menyembah TUHAN, Allah kamu, jangan tiru cara bangsa itu menyembah tuhan-tuhan mereka. 5Daripada seluruh wilayah semua suku kamu, TUHAN akan memilih satu tempat supaya kamu dapat datang ke hadirat-Nya dan menyembah Dia di situ. 6Di tempat itu kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan yang dipersembahkan dengan sukarela, dan juga anak sulung lembu, serta anak sulung domba kamu. 7Di sana, di hadapan TUHAN, Allah kamu, yang sudah memberkati kamu, kamu bersama dengan keluarga akan makan dan menikmati segala hasil usaha kamu.
8Apabila masanya tiba, kamu tidak boleh melakukan hal yang kamu lakukan sekarang. Hingga sekarang kamu semua beribadat dengan sesuka hati, 9kerana kamu belum sampai di tanah yang diberikan TUHAN, Allah kamu kepada kamu, tempat kamu dapat menetap dengan aman. 10Setelah kamu menyeberangi Sungai Yordan, TUHAN akan membenarkan kamu menduduki tanah itu lalu menetap di sana. Dia akan melindungi kamu daripada semua musuh supaya kamu dapat hidup dengan aman. 11TUHAN akan memilih satu tempat yang menjadi tempat beribadat kepada-Nya. Di sanalah kamu mesti membawa segala yang sudah aku perintahkan: korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban-korban lain, persepuluhan dan persembahan lain, dan pemberian istimewa yang kamu janjikan kepada TUHAN. 12Bersukacitalah di hadirat TUHAN di tempat itu, bersama dengan anak-anak kamu, hamba-hamba kamu, dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu. Ingatlah, bahawa orang Lewi tidak akan mempunyai tanah mereka sendiri. 13Jangan persembahkan korban kamu di tempat yang kamu pilih sendiri; 14persembahkanlah korban itu hanya di satu tempat yang dipilih oleh TUHAN, di salah satu wilayah suku kamu. Hanya di sana kamu boleh mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan melakukan segala yang sudah aku perintahkan.
15Tetapi kamu bebas menyembelih ternakan kamu dan makan dagingnya di mana sahaja kamu tinggal. Kamu boleh makan seberapa banyak ternakan yang diberikan TUHAN kepada kamu. Baik kamu tahir ataupun najis, kamu semua boleh makan daging binatang itu sebagaimana kamu makan daging rusa atau kijang. 16 Tetapi jangan makan darah binatang itu; curahkan darahnya ke tanah seperti air. 17Tiada suatu pun yang kamu persembahkan kepada TUHAN boleh dimakan di tempat tinggal kamu: baik persepuluhan gandum, wain, minyak zaitun, ataupun anak sulung lembu dan anak sulung domba, pemberian yang kamu janjikan kepada TUHAN, persembahan sukarela, ataupun persembahan lain. 18Kamu dan anak-anak kamu, bersama dengan hamba-hamba kamu dan orang Lewi yang tinggal di kota-kota kamu, harus makan persembahan itu hanya di hadirat TUHAN, Allah kamu, di satu tempat ibadat yang dipilih oleh TUHAN Allah kamu. Di tempat itu kamu harus bersukacita atas segala yang sudah kamu usahakan. 19Jangan abaikan orang Lewi, selama kamu tinggal di tanah kamu.
20Apabila TUHAN meluaskan wilayah kamu seperti yang dijanjikan-Nya, kamu boleh makan daging bila-bila sahaja kamu mahu. 21Jika tempat ibadat itu terlalu jauh, maka bila-bila sahaja, kamu boleh menyembelih lembu atau domba yang diberikan oleh TUHAN kepada kamu. Kamu boleh makan daging binatang itu di rumah, seperti yang sudah aku katakan kepada kamu. 22Sesiapa sahaja, yang tahir ataupun najis, boleh makan daging itu sebagaimana dia makan daging rusa atau kijang. 23Tetapi jangan makan daging yang masih berdarah, kerana nyawa binatang itu terkandung di dalam darahnya. Kamu tidak boleh makan nyawa bersama dengan daging. 24 Jangan makan darah; curahkanlah darah ke tanah seperti air. 25Jika kamu mematuhi hukum itu, TUHAN akan berkenan kepada kamu, dan kamu serta keturunan kamu akan sejahtera. 26Bawalah persembahan dan pemberian yang sudah kamu janjikan kepada TUHAN ke satu tempat ibadat itu. 27Di sana persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah TUHAN. Persembahkan juga korban yang dagingnya kamu makan, dan curahkan darahnya ke atas mazbah. 28Segala perkara yang sudah aku perintahkan kepada kamu harus ditaati dengan setia. Oleh itu kamu dan keturunan kamu akan sejahtera selama-lamanya, kerana kamu melakukan apa yang benar dan berkenan kepada TUHAN, Allah kamu.”
Amaran supaya Tidak Menyembah Berhala
29“TUHAN, Allah kamu akan membinasakan bangsa-bangsa itu apabila kamu menyerang mereka, dan Dia akan menolong kamu menduduki serta mendiami tanah mereka. 30Setelah TUHAN membinasakan bangsa-bangsa itu, berhati-hatilah. Jangan ikut kebiasaan agama mereka, kerana hal itu akan mendatangkan malapetaka. Jangan dapatkan maklumat tentang cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka dengan maksud meniru cara mereka itu. 31Jangan sembah TUHAN, Allah kamu dengan cara mereka menyembah tuhan-tuhan mereka, kerana apabila mereka menyembah tuhan-tuhan itu, mereka melakukan semua perkara jijik yang dibenci oleh TUHAN. Bahkan anak-anak mereka sendiri pun dibakar oleh mereka di atas mazbah sebagai korban kepada tuhan-tuhan mereka.
32 Lakukanlah segala yang sudah aku perintahkan kepada kamu; jangan tambahkan atau kurangkan apa-apa kepada perintah itu.

Terpilih Sekarang Ini:

ULANGAN 12: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk