DANIEL 6:10-23

DANIEL 6:10-23 BM

Demikianlah Raja Darius menandatangani perintah itu. Apabila Daniel mengetahui bahawa perintah itu sudah ditandatangani, dia pulang ke rumah. Di bilik pada tingkat atas rumahnya ada beberapa buah tingkap yang menghadap Yerusalem. Seperti biasanya, Daniel berlutut di hadapan tingkap-tingkap yang terbuka itu, lalu berdoa kepada Allah tiga kali sehari. Apabila musuh-musuh Daniel nampak dia berdoa kepada Allah, mereka semua menghadap raja untuk mengadu tentang Daniel. Mereka berkata, “Tuanku telah menandatangani satu perintah yang melarang sesiapa pun selama tiga puluh hari ini untuk meminta apa-apa daripada dewa atau manusia, kecuali daripada tuanku sendiri. Sesiapa yang melanggar perintah itu akan dibuang ke dalam gua singa.” Raja bertitah, “Memang benar. Perintah itu menjadi undang-undang Media dan Persia yang tidak boleh diubah.” Lalu mereka berkata kepada raja, “Daniel, salah satu orang buangan dari Yehuda, tidak menghormati tuanku dan tidak mematuhi perintah tuanku. Dia tetap berdoa tiga kali sehari.” Apabila mendengar hal itu, raja dukacita dan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan Daniel. Raja terus berusaha sehingga petang. Kemudian orang yang berkomplot itu kembali dan berkata kepada raja, “Tuanku tahu bahawa menurut undang-undang Media dan Persia, perintah yang dikeluarkan oleh raja tidak boleh diubah.” Lalu raja pun memberikan perintah agar Daniel ditangkap dan dibuang ke dalam gua singa. Raja bertitah kepada Daniel, “Semoga Allah yang kamu sembah dengan setia itu menyelamatkan kamu.” Kemudian mulut gua ditutup dengan sebuah batu besar, dan raja memeteraikan batu itu dengan meterainya sendiri serta meterai para pembesarnya, supaya tidak seorang pun dapat menyelamatkan Daniel. Selepas itu raja kembali ke istana, tetapi malam itu baginda tidak dapat beradu. Baginda tidak bersantap dan tidak mahu dihibur. Pada waktu subuh, raja bangun dan tergesa-gesa pergi ke gua singa itu. Setibanya di situ, baginda memanggil dengan cemas, “Daniel, hamba Allah yang hidup! Adakah Allah yang kamu layani dengan begitu setia itu dapat menyelamatkan kamu daripada singa-singa itu?” Daniel menjawab, “Daulat tuanku! Allah telah mengirim malaikat-Nya untuk menutup mulut singa-singa itu sehingga hamba tidak diapa-apakan. Dia berbuat demikian kerana Dia tahu hamba tidak bersalah, baik terhadap Dia mahupun terhadap tuanku.”