Daniel menjawab, “Tiada orang berilmu, ahli sihir, penilik atau ahli nujum yang dapat melakukan hal itu. Tetapi Allah penguasa di syurga, menyatakan segala rahsia; Dia telah memberitahu tuanku hal masa depan. Oleh itu perkenanlah hamba menceritakan mimpi tuanku, iaitu penglihatan yang tuanku nampak ketika tuanku beradu.
Ketika tuanku beradu, tuanku bermimpi tentang perkara masa depan, dan Allah yang menyatakan segala rahsia telah memperlihatkan perkara yang akan berlaku itu kepada tuanku. Allah telah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada hamba, bukan kerana hamba lebih bijak daripada sesiapa pun, tetapi supaya tuanku boleh memahami tafsiran mimpi itu dan mengerti akan isi hati tuanku.
Dalam penglihatan itu tuanku nampak sebuah patung di hadapan tuanku. Patung itu sangat besar, berkilau-kilauan, dan sungguh menakutkan. Kepalanya dibuat daripada emas tulen; dada dan lengannya daripada perak; pinggang dan pinggulnya daripada gangsa; paha dan betisnya daripada besi, sedangkan kakinya sebahagian daripada besi dan sebahagian lagi daripada tanah liat. Ketika tuanku sedang memandangnya, sebuah batu besar jatuh dari tebing dengan sendirinya, dan menimpa kaki patung yang dibuat daripada besi dan tanah liat itu, lalu menghancurkannya. Dengan serta-merta patung itu roboh dan menjadi timbunan besi, tanah liat, gangsa, perak, dan emas yang hancur luluh seperti debu di tempat mengirik gandum pada musim panas. Lalu angin pula meniupnya tanpa meninggalkan sebarang kesan. Tetapi batu itu menjadi sebuah gunung yang memenuhi seluruh bumi.
Itulah mimpi tuanku. Sekarang ini pula tafsirannya. Tuanku raja yang agung. Allah penguasa di syurga menjadikan tuanku seorang maharaja. Dia memberi tuanku kuasa, kekuatan, dan kehormatan. Dia menjadikan tuanku penguasa atas seluruh bahagian bumi yang berpenduduk, bahkan penguasa atas binatang dan burung sekalipun. Tuankulah kepala yang dibuat daripada emas itu. Selepas kerajaan tuanku berakhir, akan bangkit sebuah kerajaan yang tidak seagung kerajaan tuanku. Selepas itu akan muncul kerajaan ketiga, yang dilambangkan oleh gangsa, yang akan memerintah seluruh bumi. Kemudian sebuah kerajaan keempat yang sekuat besi akan meremukkan dan menghancurkan segala sesuatu. Sebagaimana besi menghancurkan segala sesuatu, demikian juga kerajaan itu akan meremukkan dan menghancurkan semua kerajaan yang lain itu. Tuanku nampak kaki dan jari kaki patung itu dibuat daripada besi dan tanah liat. Itu bermakna bahawa kerajaan itu akan terbahagi. Kerajaan itu juga mempunyai kekuatan seperti besi kerana tanah liat itu bercampur besi. Jari kakinya yang sebahagian daripada besi dan sebahagian daripada tanah liat bermakna bahawa sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah. Tuanku nampak juga besi yang bercampur tanah liat. Hal itu bermakna penguasa-penguasa kerajaan itu akan cuba menyatukan kerajaan mereka dengan mengadakan kahwin campuran, tetapi sebagaimana besi tidak dapat sebati dengan tanah liat, demikian juga mereka tidak akan berjaya. Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa itu, Allah penguasa di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang kekal dan yang tidak dapat dikalahkan. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan yang lain, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya. Tuanku nampak batu itu jatuh dari tebing dengan sendirinya, serta menimpa patung yang dibuat daripada besi, gangsa, tanah liat, perak, dan emas itu. Allah yang besar sedang memberitahu tuanku hal masa depan. Itulah mimpi tuanku yang sebenarnya, dan tafsirannya dapat dipercayai.”