AMOS 7:1-9

AMOS 7:1-9 BM

Aku mendapat suatu penglihatan daripada TUHAN Raja. Dalam penglihatan itu aku nampak Dia mencipta suatu kawanan belalang setelah orang selesai memotong rumput untuk raja. Pada masa itu rumput mula tumbuh lagi. Kawanan belalang itu memakan habis semua tumbuhan di tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, ampunilah umat-Mu! Bagaimana mungkin mereka dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya dan berfirman, “Hal yang engkau nampak itu tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak Dia sedang bersedia untuk menghukum umat-Nya dengan api. Api itu menghanguskan lautan besar di bawah bumi dan mula membakar tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, tolong hentikan api itu! Bagaimana mungkin umat-Mu dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya lagi dan berfirman, “Hal ini pun tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lain daripada Tuhan. Aku nampak Dia berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting, dan Dia memegang seutas tali unting. Dia bertanya kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Seutas tali unting.” Kemudian Dia berfirman, “Aku menggunakan tali unting ini untuk menunjukkan bahawa umat-Ku seperti tembok yang tidak tegak. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka. Tempat-tempat yang digunakan oleh keturunan Ishak untuk beribadat akan dihancurkan. Tempat-tempat suci orang Israel akan menjadi reruntuhan. Aku akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami