AMOS 7:1-9
AMOS 7:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku mendapat suatu penglihatan daripada TUHAN Raja. Dalam penglihatan itu aku nampak Dia mencipta suatu kawanan belalang setelah orang selesai memotong rumput untuk raja. Pada masa itu rumput mula tumbuh lagi. Kawanan belalang itu memakan habis semua tumbuhan di tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, ampunilah umat-Mu! Bagaimana mungkin mereka dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya dan berfirman, “Hal yang engkau nampak itu tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lagi daripada TUHAN Raja. Aku nampak Dia sedang bersedia untuk menghukum umat-Nya dengan api. Api itu menghanguskan lautan besar di bawah bumi dan mula membakar tanah. Kemudian aku berkata, “Ya TUHAN Raja, tolong hentikan api itu! Bagaimana mungkin umat-Mu dapat bertahan? Mereka sangat kecil dan lemah!” TUHAN mengubah fikiran-Nya lagi dan berfirman, “Hal ini pun tidak akan berlaku.” Aku mendapat suatu penglihatan lain daripada Tuhan. Aku nampak Dia berdiri di sisi sebuah tembok yang dibina dengan menggunakan tali unting, dan Dia memegang seutas tali unting. Dia bertanya kepadaku, “Amos, apakah yang engkau nampak?” Aku menjawab, “Seutas tali unting.” Kemudian Dia berfirman, “Aku menggunakan tali unting ini untuk menunjukkan bahawa umat-Ku seperti tembok yang tidak tegak. Aku tidak akan mengubah fikiran-Ku lagi; Aku akan menghukum mereka. Tempat-tempat yang digunakan oleh keturunan Ishak untuk beribadat akan dihancurkan. Tempat-tempat suci orang Israel akan menjadi reruntuhan. Aku akan mengakhiri pemerintahan keluarga Raja Yerobeam.”
AMOS 7:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah yang diperlihatkan Tuhan ALLAH kepadaku: Lihatlah Dia sedang membentuk kawanan belalang ketika semaian terakhir mulai tumbuh, iaitu penumbuhan semaian terakhir sesudah disabit bahagian bagi raja. Setelah kawanan itu selesai memakan semaian yang tumbuh di tanah, aku pun berkata, “Ya Tuhan ALLAH, semoga Engkau mengampuni Israel! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!” Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu tidak akan terjadi,” firman TUHAN. Inilah yang diperlihatkan Tuhan ALLAH kepadaku: Lihatlah Tuhan ALLAH sedang memanggil renjisan api untuk menjalankan hukuman. Kemudian api itu memakan habis samudera raya dan memakan habis tanah ladang. Lalu aku berkata, “Ya Tuhan ALLAH, semoga Engkau hentikanlah! Bagaimanakah Yakub dapat bertahan? Dia begitu kecil!” Maka TUHAN pun berbelas kasihan atas hal itu. “Itu pun tidak akan terjadi,” firman Tuhan ALLAH. Inilah yang diperlihatkan-Nya kepadaku: Lihatlah Tuhan hadir di sisi sebuah tembok yang tegak lurus dengan tangan-Nya memegang batu ladung. Firman TUHAN kepadaku, “Apa yang kaulihat, Amos?” Jawabku, “Batu ladung.” Firman Tuhan, “Sesungguhnya, Aku akan memasang batu ladung di tengah-tengah umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan mengampuni mereka lagi. Akan tandus kesepianlah segala bukit pemujaan Ishak dan tempat-tempat suci Israel akan menjadi puing-puing. Aku akan bangkit melawan keluarga Yerobeam dengan pedang.”