AMOS 3
3
1Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN tentang segenap bangsa kamu, yang sudah dibawa-Nya keluar dari Mesir. TUHAN berfirman, 2“Daripada semua bangsa di dunia, kamulah satu-satunya bangsa yang Aku kenal dan pelihara. Itulah sebabnya dosa kamu besar, dan Aku mesti menghukum kamu.”
Tugas Nabi
3Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa lebih dahulu?
4Adakah singa mengaum di hutan, jika belum mendapat mangsa?
Adakah anak singa mengaum di dalam lubangnya, jika belum menangkap apa-apa?
5Bolehkah burung terjebak dalam perangkap, jika perangkap tidak berumpan?
Bolehkah perangkap membingkas jika tiada yang tertangkap?
6Jika trompet tanda perang dibunyikan, tidakkah orang di kota ketakutan?
Bolehkah bencana menimpa sesuatu kota, jika TUHAN tidak mendatangkan bencana itu?
7TUHAN Raja tidak pernah melakukan sesuatu pun tanpa menyatakan rancangan-Nya kepada para nabi, hamba-hamba-Nya.
8Apabila singa mengaum, siapakah tidak takut?
Apabila TUHAN Raja berfirman, siapakah dapat berdiam diri dan tidak mengisytiharkan perkhabaran-Nya?
Kejatuhan Samaria
9Umumkanlah perkhabaran ini kepada orang yang tinggal di istana Mesir dan Asdod, “Berkumpullah di bukit-bukit di sekitar Samaria, dan lihatlah huru-hara serta jenayah yang berlaku di sana.”
10TUHAN berfirman, “Penduduk Samaria mengisi rumah besar mereka dengan benda-benda yang diperoleh daripada kejahatan dan kekejaman. Mereka sama sekali tidak tahu berlaku jujur. 11Oleh itu musuh akan mengepung negeri mereka, memusnahkan pertahanan, dan menjarah rumah besar mereka.”
12TUHAN berfirman, “Seperti seorang gembala yang hanya mendapat sepasang kaki atau sepotong telinga dombanya yang diterkam oleh singa, demikian juga yang akan berlaku; hanya sedikit orang yang akan terselamat antara penduduk Samaria yang sekarang berbaring di atas tempat tidur yang serba mewah.”
13TUHAN Raja Yang Maha Kuasa berfirman, “Sekarang dengarlah, dan berikanlah amaran kepada keturunan Yakub. 14 Pada hari Aku menghukum orang Israel kerana dosa mereka, Aku akan memusnahkan mazbah-mazbah di Betel. Setiap mazbah akan dipatahkan unjuran-unjurannya sehingga jatuh ke tanah. 15Aku akan memusnahkan rumah musim sejuk dan rumah musim panas. Rumah yang dihias dengan gading akan roboh; semua rumah besar akan dimusnahkan.
Terpilih Sekarang Ini:
AMOS 3: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.