KISAH RASUL-RASUL 8:26-40

KISAH RASUL-RASUL 8:26-40 BM

Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan itu tidak digunakan lagi.) Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya. Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.” Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Pegawai tinggi itu menjawab, “Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?” Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia. Inilah ayat-ayat yang dibacanya, “Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih; seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting; demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun. Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil. Nyawanya dicabut dari muka bumi, sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.” Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, “Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?” Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus. Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, “Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?” [ Filipus berkata, “Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.” Pegawai tinggi itu menjawab, “Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.”] Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami